Malaysia Dateline

Air Kelantan: Sia-sia 5 menteri dilantik tapi tiada inisiatif selesai masalah

Kelantan diberi kuota istimewa dengan memiliki lima menteri, bagaimanapun pelantikan itu sia-sia apabila tidak dilihat seorang pun daripada mereka mempunyai inisiatif untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu.

“Tidak ada guna Kelantan diberikan kuota sampai lima menteri tetapi seorang pun tidak ada inisiatif untuk menyelesaikan masalah bersangkutan.

“Sia sia mereka diberi kepercayaan. Selain Takiyuddin dan Mustafa serta tiga lagi MP Kelantan dilantik jadi menteri Tuan Ibrahim, Annuar dan Razi Jidin,” tulis penulis Mohd Sayuti Omar di facebooknya.

Sayuti yang juga anak kelahiran Kelantan melahiran rasa sedih apabila program Malaysia Prihatin yang dihadiri dua menteri pusat namun mereka tidak dapat memberi komitmen menyelesaikan masalah yang dibangkitkan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Selasawati Ghazali.

Beliau berkata, apabila pengarah sendiri bangkit bertanya hai ini menunjukkan masalah air yang membelenggu hospital itu sudah sampai ke peringkat kritikal.

“Berbeza dengan apa yang berlaku dalam sesi soal jawab program Malaysia Prihatin yang diadakan di Kota Bharu yang dihadiri dua menteri pusat dan Menteri Besar Kelantan.

“Kebiasaanya jika ada kemusykilan atau masalah jabatan hanya menghantar dan mewakilkan pegawai bawahan sebagai jurucakap atau membangkitnya,” katanya.

Keberanian Dr Selasawati tampil bertanya perancangan kerajaan Pas Kelantan mengatasi masalah air yang membelenggu hospital itu sejak bertahun lalu mendapat pujian ramai.

“Syabas doktor, jarang-jarang sekali ketua jabatan ikut membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan jabatan atau agensi kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan masalah dihadapi rakyat Kelantan seperti masalah air, sampah, prasarana lain akan dapat diatasi sekiranya rakyat sanggup menukarkan kerajaan kepada parti selain daripada Pas.

“Selagi Pas memerintah Kelantan selama itulah rakyat Kelantan dilindungi dengan doa semata mata tanpa tindakan fizikal,”ujarnya.

Semalam, Dr Selasawati tampil bertanya mengenai perancangan kerajaan dalam mengatasi masalah itu pada sesi soal jawab program Malaysia Prihatin yang dihadiri dua menteri dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Pada sesi soal jawab di program Malaysia Prihatin sesi bersama pengawai kerajaan negeri Kelantan dan persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, Selasawati menyuarakan masalah air yang berlaku di hospital itu dan apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah tersebut.

Susulan itu Ahmad ketika menjawab soalan berkenaan menjelaskan, pihaknya dan Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang mengambil beberapa pendekatan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.