Malaysia Dateline

Air pasang besar di Yan, Prasarana Pantai Murni rosak

Tragedi ‘kepala air’ yang menghantui penduduk Yan, Kedah senantiasa menjadi igauan sehingga ke hari ini.

Semalam video yang diviralkan penduduk mengenai ombak besar sehinggakan merosakkan prasarana berhadapan Pantai Murni, Yan menyebabkan pelbagai agensi penyelamat bersiap. siaga sekiranya sebarang kemungkinan berlaku.

Penolong Penguasa Bomba, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Fauzi Shuaib ketika dihubungi berkata, pemantauan yang dilakukan sehingga hari ini menunjukkan tiada sebarang laporan kecemasan yang diterima oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Malah kata beliau, kebanyakan kawasan berhadapan dengan Pantai Murni penuh dengan longgokan sampah dan sarap yang dihanyutkan ombak serta juga beberapa kerosakan pada prasarana berdekatan kawasan pantai tersebut.

Sementara itu Pegawai Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Daerah Yan, Leftenan Muhammad Azri Ahmad ketika dihubungi hari ini turut berkata, pemantauan telah dilakukan oleh mereka sejak petang semalam lagi.

Walau bagaimana pun katanya, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa yang diterima setakat pemantauan yang dijalankan bersama empat orang anggota.

Tegasnya pemantauan yang sama turut dilakukan oleh agensi penyelamat yang lain sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.