Malaysia Dateline

Air pasang besar di Selangor dan Perak lagi dua tahun, aktivis ini gesa bersiap mulai sekarang

“Dikhuatiri air pasang besar 12 Mac 2024 boleh mencapai 6 meter di Selangor dan 3.5 meter di Perak.
Mungkin persiapannya boleh dibuat mulai sekarang?”

Itu pendapat aktivis yang dikenal sebagai MatGeo menerusi artikelnya yang turut membandingkan kejadian air pasang besar di Kapar, Klang pada tahun 2016.

Ikuti penjelasan MatGeo berkenaan risiko air pasang besar itu:

Kira-kira posisi bulan yang pernah dibuat sebelum ini menunjukkan akan berlaku air pasang besar pada 2 Ramadan 1445 bersamaan 12 Mac 2024.

Pada jadual air pasang besar di sebuah tempat di Avonmouth, United Kingdom, di mana pada posisi bulan yang bersamaan 16 Muharram 1438 atau 17 Oktober 2016, ia turut mengakibatkan air pasang besar di Kapar, Klang.

Pada jadual yang disediakan UK National Tidal & Sea Level Facility ini, tergambar pasang besar pada 12 Mac 2024 turut berlaku di Avonmouth. Tarikh lain tidak diambil kira kerana kedudukan bulan tidak memberi kesan yang sama antara dua tempat ini.

Posisi bulan pada 17 Oktober 2016 ialah 12°47′ Utara dengan jarak ke bumi 363,300 km. Pada 12 Mac 2024 pula, posisi bulan ialah 4°41′ Utara dengan jarak 365,062 km.

Posisi 12 Mac 2024 ini lebih dekat dengan latitud kita di Malaysia.

Jika ramalan terjadual di Avonmouth untuk 12 Mac 2024 adalah 9 cm lebih tinggi dari 17 Oktober 2016 walaupun posisi bulan yang lebih jauh, bagaimana pula ketinggian pasang besar di Klang ketika itu pada posisi bulan yang lebih menghampiri latitud kita?

Untuk rekod, semasa pasang besar 17 Oktober 2016, air pasang mencatat ketinggian 5.6 meter di Klang dan 3.3 meter di perairan Manjung.

Dikhuatiri air pasang besar 12 Mac 2024 boleh mencapai 6 meter di Selangor dan 3.5 meter di Perak.
Mungkin persiapannya boleh dibuat mulai sekarang?

Paras laut dikira dari Mean Sea Level. Mean Sea Level di Port Klang ialah pada ketinggian 3.65 meter pada ukuran air pasang. Air pasang setinggi 6 meter adalah bersamaan 2.35 meter dari paras laut.

Beberapa tempat di Klang berada lebih rendah dari 2.35 meter dari paras laut contohnya kawasan kompleks sukan Pandamaran yang dipercayai terletak di atas aliran lama ‘delta’ Sungai Klang.

Baca juga 7 kawasan di Selangor dilimpahi air pasang besar

Baca juga Banjir teruk di KL, netizen mula anggap teori seluruh Malaysia tenggelam pada 2050 adalah benar