Malaysia Dateline

Air Selangor maklum bekalan air terjejas jam 2 pagi tadi

Air Selangor memaklumkan henti tugas di Loji Rawatan Air kira-kira jam 2 pagi tadi sekali gus dilihat mengundang kejutan dan rasa tidak puas hati penduduk terlibat.

Lebih 1,200 kawasan di negeri itu dan Kuala Lumpur diberitahu mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

“Air Selangor ingin memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada 11.30 malam, 7 Disember 2020 serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 pada 1.00 pagi hari ini, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

“Henti tugas ini akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 1,274 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

“Senarai kawasan-kawasan yang terjejas dengan henti tugas ini akan diumumkan dari semasa ke semasa di semua saluran komunikasi Air Selangor,” dipetik dari Facebook Air Selangor.

Sementara itu, penduduk di kawasan terlibat memberitahu di bahagian komentar media sosial rasmi Air Selangor tersebut bahawa mereka terpaksa menadah air awal pagi tadi sejurus terbaca pengumuman mengejut itu.

Rata-rata pengguna air di Selangor dan Kuala Lumpur juga berang memandangkan masalah sama berulang setiap bulan dengan lebih spesifik sekitar 10 hingga 15 haribulan.

Namun, bulan ini dilihat lebih awal daripada lingkungan tarikh itu. Justeru, ada warganet secara sinis berharap Air Selangor mengeluarkan takwim bagi gangguan air sepanjang tahun 2021.

“Mintak kalendar untuk tahun 2021 untuk kami tahu bila proses menghidu air akan dijalankan. Terima kasih,” kata seorang warganet di Facebook Air Selangor.