Malaysia Dateline

Air Selangor: Proses rawatan LRA dijangka selesai pagi ini

Keempat-empat Loji Rawatan Air telah mula beroperasi semula pada jam 10.30 malam semalam.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2,3 dan Rantau Panjang beroperasi secara berperingkat.

Aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA mengambil masa selama 10 jam supaya dapat beroperasi sepenuhnya bagi mengisi kolam imbangan sehingga ke paras 4 meter yang dijangka selesai pada jam 8.30 pagi ini, 5 September 2020 sebelum dapat diagihkan kepada para pengguna.

Dalam pada itu, Air Selangor dalam kenyataannya memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terleboh dahulu.

“Ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang telah kosong bagi memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” katanya.

Air Selangor juga terus melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) iaitu Empangan Sg Tinggi sebanyak 800 JLH, Horas 600 sebanyak 150 JLH dan operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 582 JLH bagi membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2850 JLH.

Sehubungan itu, bantuan bekalan air kecemasan yang telah dilaksanakan oleh Air Selangor sehingga kini adalah menggerakkan sebanyak 114 lori tangki termasuk 9 dari operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat.