Malaysia Dateline

Air selut: Sanusi mahu tutup pembalakan di Kedah, kata Ramasamy

Tujuan Menteri Besar Kedah Mohamad Sanusi Md Nor bertelingkah dengan Pulau Pinang berhubung caj air mentah adalah untuk membolehkan aktiviti pembalakan yang lebih meluas di negerinya, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.

Beliau berkata ugutan Sanusi untuk menyekat bekalan air, bawa ke kes ke mahkamah dan baru-baru ini tentang air keruh dan berlumpur mengalir ke Pulau Pinang, adalah cubaan untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar, iaitu pembalakan.

“Jika kawasan pembalakan lebih luas dibenarkan, lebih banyak wang akan diperolehi daripadanya.

“Mungkin apabila Sanusi bercakap tentang kemungkinan Pulau Pinang menerima air berlumpur, beliau sebenarnya membayangkan senario masa depan iaitu air sungai keruh kerana pembalakan tidak bertanggungjawab.

“Akhirnya, Pulau Pinang dipersalahkan kerana enggan membayar caj air menyebabkan Kedah terpaksa mengambil pilihan lain, seperti pembalakan untuk memastikan kewangan negeri dalam baik,” kata beliau.

Semalam Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membayangkan kemungkinan Pulau Pinang terpaksa menggunakan ‘air selut’ jika kerajaan negeri itu berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah.

Ini kerana kata beliau, kerajaan Kedah sedang merancang beberapa projek yang dijangka memberi impak terhadap aliran air Sungai Muda yang pada masa ini menjadi sumber air mentah Pulau Pinang.

“Projek-projek ini apabila dilaksanakan akan beri masalah kepada mereka (Pulau Pinang) jika tidak bayar (caj air mentah), tak apa dia gunalah (secara percuma), sampai hari keluar air selut, dia gunalah air (selut) tu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Yan di sini, semalam.