AirAsia berminat beli platform digital untuk tingkat perniagaan digital

AirAsia berminat beli platform digital untuk tingkat perniagaan digital

Airasia Group Bhd berminat untuk membeli platform digital di luar negara bagi meningkatkan segmen perniagaan digitalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Pastinya…sebahagian akan menjadi M&A (penggabungan dan pengambilalihan), sebahagian lagi usaha sama.”

Apabila ditanya negara mana yang disasarkan oleh kumpulan itu, beliau berkata: “Tunggu dan lihat.”

Fernandes berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan ruang atas bangunan serba baharu AirAsia RedQ, di sini, malam ini. Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun.

Pada masa hadapan, Fernandes berkata perniagaan digital akan menjadi sebahagian besar daripada hasil kumpulan.

“Bagaimanapun saya tidak mahu membuat sebarang ramalan tetapi beberapa tahun lalu saya ada katakan bahawa pendapatan sampingan akan menjadi bahagian yang besar daripada perniagaan kami, dan ia menjadi 25 peratus. Saya percaya digital akan menjadi lebih besar,” katanya.

Mengulas mengenai ruang atas bangunan serba baharu itu, Fernandes berkata ia bertujuan untuk memacu integrasi antara kakitangan daripada jabatan berbeza ke arah masa depan digital yang lebih menarik.

“Digital adalah berkisar tentang jabatan bekerjasama lebih rapat. Kami sedang dalam usaha mengujakan untuk menjadikan AirAsia lebih daripada sekadar syarikat penerbangan,” katanya.– BERNAMA