Malaysia Dateline

AirAsia enggan kutip caj tambahan daripada penumpang

Kumpulan AirAsia sebagai respons kepada writ saman yang diserahkan oleh Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), berkata syarikat penerbangan itu tidak diwajibkan mengutip cukai lapangan terbang bagi MASSB dan enggan mengutip caj tambahan daripada penumpang bagi pihak MASSB.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd (AAB) Riad Asmat dalam kenyataan hari ini berkata penumpang yang menggunakan klia2 tidak sepatutnya dikenakan kadar yang sama seperti penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mendakwa klia2 adalah terminal tambang rendah dengan tahap perkhidmatan yang disediakan kepada penumpang jauh lebih rendah berbanding KLIA, yang merupakan terminal perkhidmatan penuh.

“AirAsia sebelum ini telah membuat beberapa aduan rasmi berhubung infrastruktur dan akses di klia2 yang memberi kesan negatif kepada prestasi operasi dan ketepatan masa kami,” katanya.

Ini termasuk keadaan infrastruktur yang tidak memuaskan di klia2, kecacatan pada apron, tanah mendap, banjir, saluran minyak bocor, penutupan landasan secara mengejut disebabkan keperluan penurapan semula yang berterusan, penutupan pintu berlepas dan kerosakan kepada pesawat, katanya.

Menyatakan syarikat penerbangan biasanya mengutip caj perkhidmatan penumpang (PSC) atau lebih dikenali sebagai cukai lapangan terbang bagi pihak pengendali lapangan terbang sebagai sebahagian daripada tambang udara, Riad berkata AirAsia telah mengutip, bagi pihak MASSB, cukai lapangan terbang sebanyak RM50 daripada setiap penumpang antarabangsa bukan ASEAN yang berlepas dari klia2 sejak 1 Jan 2017.

Setakat ini, katanya AirAsia telah membayar cukai lapangan terbang sebanyak RM478,055,829.24 kepada MASSB.

Menurut Riad, pada 1 Feb tahun ini, MASSB telah menaikkan cukai lapangan terbang yang dikenakan ke atas penumpang antarabangsa bukan ASEAN yang berlepas dari klia2 kepada RM73.

“Langkah menaikkan cukai lapangan terbang penumpang antarabangsa bukan ASEAN kepada RM73 daripada RM50 menyamakan PSC antara klia2 dan KLIA.

“AirAsia tidak bertanggungjawab untuk mengutip cukai lapangan terbang bagi MASSB, dan kami enggan untuk mengutip caj tambahan daripada penumpang bagi pihak MASSB,” katanya.

MASSB menuntut tunggakan berjumlah RM36.1 juta bagi PSC yang tidak dikutip daripada AirAsia X Bhd (AAX) dan AAB. MASSB telah menyerahkan dua writ saman bagi menuntut RM26.71 juta dan RM9.39 juta, masing-masing kepada AAX dan AAB bagi PSC yang tidak dikutip di klia2.

“Kami telah mencuba, beberapa kali, dan tidak berjaya, untuk berbincang dengan MASSB mengenai isu ini. Malangnya, MASSB memutuskan untuk membawa perkara ini secara terbuka dan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan tuntutan dan AirAsia akan membantah,” kata Riad.