AirAsia Group catat rugi bersih RM51.44 juta pada suku ketiga

AirAsia Group catat rugi bersih RM51.44 juta pada suku ketiga

Airasia Group Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM51.44 juta bagi suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2019 berbanding keuntungan bersih RM915.87 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas.

Kerugian sebelum cukai berjumlah RM237.7 juta susulan kerugian nilai saksama ke atas derivatif dan kerugian yang tidak direalisasikan daripada pertukaran asing sebanyak RM206.3 juta, baki selepas ditolak keuntungan daripada penjualan hartanah, kemudahan dan peralatan berjumlah RM92.1 juta.

Bagaimanapun, perolehan dalam suku itu naik kepada RM3.07 bilion daripada RM2.61 bilion sebelum ini, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia Rabu.

Sementara itu, jumlah perolehan kumpulan bagi perniagaan syarikat penerbangan itu pada suku ketiga tumbuh 17 peratus kepada RM2.95 bilion daripada RM2.53 bilion yang direkodkan pada suku ketiga 2018.

“Pertumbuhan ini terutamanya disebabkan oleh pertambahan 20 peratus jumlah penumpang yang dibawa dan peningkatan satu peratus bagi perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) kepada 3.59 sen US,” katanya.

Di masa hadapan, kumpulan itu kekal optimis bahawa prestasi terasnya berada pada tahap positif semasa suku terakhir tahun ini.

“Susulan langkah kumpulan ini menyusun semula perniagaan untuk disesuaikan dengan persekitaran perniagaan yang berkembang dan perkiraan perakaunan baharu dan penstrukturan semula pemilikan pesawat, kami berharap prestasi yang lebih baik pada 2020,” katanya.

— BERNAMA