Aishah ingatkan pengundi, petugas parti berhati-hati pada hari mengundi

Aishah ingatkan pengundi, petugas parti berhati-hati pada hari mengundi

Dalam ceramahnya di Kuala Klawang, Jelebu malam tadi penyanyi tersohor tanah air Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah mengingatkan para pengundi serta petugas parti supaya bertindak cermat dan berhati-hati bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Kata beliau, petugas-petugas parti sama ada PACA atau yang lainnya perlulah tahu dan faham sebaiknya segala peraturan dan undang-undang berkaitan proses pembuangan undi.

“Saya bimbang, kerana saya ada terbaca, bahawa kemungkinan pada hari-hari terakhir ini bendera parti kita akan diletakkan kurang daripada 50 meter dari kawasan pembuangan undi.

“Sekiranya itu berlaku, jika calon kita menang, ia boleh dibatalkan atas alasan teknikal seperti itu,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan pengundi-pengundi terutama wanita veteran supaya ketika masuk ke tempat untuk membuang undi supaya memastikan tiga perkara, pertama pastikan kertas undi yang diberi ada nombor, yang kedua mesti ada cop, dan yang ketiga pastikan ia tidak comot.

“Jangan kasi kertas undi itu comot, nanti ia boleh dikategorikan sebagai undi rosak,” katanya.

Kalau kertas yang diberikan itu comot, minta tukar dengan kertas undi yang lain, yang bersih, pesan Aishah.

Sebelum mengakhiri ceramahnya, Aishah menyeru semua pengundi supaya membuat pilihan yang benar-benar matang bagi memastikan masa depan negara dapat diruskan dengan baik oleh mereka yang benar-benar amanah, jujur dan bertanggungjawab.

Dalam majlis berkenaan juga beliau mendendangkan dua buah lagu iaitu Janji Manismu dan Bahtera Merdeka.

Turut berceramah pada malam itu ialah Tan Sri Rais Yatim, Ir Mustafar Kadir (calon Parlimen Jelebu) dan Haji Bakri Sawir (calon Dun Klawang)

CATEGORIES