Malaysia Dateline

Aishah juara Gegar Vaganza 4

Pelantun lagu ‘Janji Manismu ‘  Aishah  diumumkan juara pertandingan akhir program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), malam tadi.

Aishah,52, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin  menewaskan lima peserta lain, Liza Hanim, Hazami, Lan, Firman dan Tia Jinbara.

Ketua Wanita AMANAH Nasional Kawasan Batu ini membawa pulang RM100,000 tunai dan satu lot tanah banglo sumbangan Bina Megan Empire dan pakej percutian ke Eropah Timur sumbangan portal selamatbercuti.com. Selain baucar membeli-belah bernilai RM6,000 sumbangan Go Shop dan piala Gegar Vaganza.

Aishah juga  menerima barangan kemas istimewa daripada penaja utama GV 4 Datuk Seri Dr Hasmizah Othman atau lebih dikenali Dr Vida yang bernilai RM80,000 dari DSV Gold & Jewellery dan turut memenangi bagi Anugerah Gelora Vida Vaganza malam tadi.

Aishah yang mendapat ‘standing ovation’ daripada juri Hetty Koes Endang dan sebahagian penonton malam tadi apabila membawakan segmen solo dengan lagu ‘All By My Self’ nyanyian asal Celine Dion.

Hetty yang lebih mesra dengan panggilan bonda mengalirkan air mata ketika memberi komen kepada Aishah kerana dilihat kesungguhan dan penyampaian Aishah yang begitu menusuk hatinya sebagai juri.

Hetty nyata berpuas hati dengan penyampaian Aishah pada pusingan pertama konsert akhir GV4.

Dalam pusingan kedua segmen battle, Aishah membawakan lagu ‘Super Girls’ berduet dengan Liza Hanim.

Naib Juara dimenangi Liza Hanim atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim yang menyanyikan lagu ‘Meniti Titian Usang’ dan dalam segmen battle bersama Aishah membawa pulang RM50,000 tajaan Astro dan Qu Puteh, sebidang tanah lot banglo tajaan Bina Megan Empire, dan pakej percutian ke Turki sumbangan portal selamatbercuti.com.

Manakala tempat ketiga, Lan Solo (RM30,000) tajaan Astro dan Qu Puteh, sebidang tanah lot banglo tajaan Bina Megan Empire dan pakej percutian ke Boracay oleh selamatbercuti.com. Lan Solo turut membawa pulang barangan kemas sumbangan DSV Gold & Jewelry, baucar barangan tunai bernilai RM4,000 sumbangan Go Shop serta trofi pertandingan tahunan tersebut.

Pemenang utama Gegar Vaganza musim ke 4 (dari kiri) Liza Hanim, Aishah dan Lan Solo.

Hazami pula mendapat tempat keempat menerima RM20,000 dan memenangi Digi Star of The Week dari undian peminat.

Tempat kelima dimenangi Firman, membawa pulang RM15,000.

Berada di kedudukan terakhir, Tia Jinbara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Kesemua finalis turut menerima trofi, barangan kemas dan baucar membeli belah.

Hadiah disampaikan penaja platinum GV4, Datuk Seri Vida, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Sepanjang lapan minggu Gegar Vaganza bersiaran, enam penyanyi lain yang turut terbabit ialah Ferhad, Raja Azura, Haida, Elyana, Aqasha dan Syura.

Juri tetap terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta dua juri jemputan iaitu Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

Para peserta diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri dan program itu dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Pentas akhir GV4 turut diserikan dengan persembahan daripada dua bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat dan Ezad.

Konsert Akhir GV 4 yang berlangsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor.