Malaysia Dateline

Ajak ahli politik bersatu perangi Covid-19 tapi buat darurat

Tiada mekanisme jelas di sebalik seruan supaya semua ahli politik bersama-sama dalam usaha memerangi Covid-19, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Sebaliknya, pelaksanaan darurat untuk tempoh lapan bulan ini dilihat bercanggah dengan gesaan untuk melihat semua ahli Parlimen bersatu melawan pandemik.

“Kalau betul seperti didakwa hendak mengukuhkan perpaduan dan negara termasuk orang politik kena duduk berbincang, ya, saya setuju.

“Tapi mekanismenya apa? Adakah darurat itu dapat mengukuhkan perpaduan dan negara untuk menyelesaikan masalah Covid-19 seperti dimahukan orang ramai itu?

“Bagi saya, darurat tidak dapat menyelesaikan (masalah Covid-19). Ia menjadi krisis susulan rentetan krisis dari awal sejak Februari 2020 lagi,” katanya dalam Wacana Sinar Harian menerusi Facebook Live sebentar tadi.

Naib Presiden AMANAH itu turut membetulkan tanggapan salah berhubung penolakan 108 Ahli Parlimen terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada 15 Disember lalu.

“Kita menentang kerana melihat ada unsur-unsur di dalam Belanjawan 2021 itu yang tiada kena-mengena dengan Covid-19.

“Peruntukan besar untuk JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) untuk apa ketika kita mengajak semua Ahli Parlimen bersatu menyelesaikan masalah Covid-19,” bidasnya.

Untuk rekod, Dewan Rakyat pada 10 Disember lalu meluluskan usul pengurangan peruntukan bagi perluasan JASA yang dijenamakan semula menjadi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebanyak RM45 juta berbanding RM85.5 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Mujahid menegaskan jabatan itu walaupun ditukar nama merupakan doktrinisasi politik untuk mengukuhkan orang politik yang berkuasa.

“Jadi, kita menyatakan ini tidak kena-mengena dengan Covid,” ujarnya.

Tiada perbalahan

Bahkan, beliau menekankan negara sudah ada akta dan undang-undang yang diperkenalkan untuk meningkatkan daya dan kuasa di peringkat eksekutif melalui Parlimen bagi menangani Covid-19.

“Antaranya, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta kuasa kepada penguatkuasa dalam mengenakan denda lebih tinggi dan sebagainya.

“Semua akta dan undang-undang yang dibentang di Parlimen sebelum ini berkaitan menangani Covid-19.

“Kita tiada perbalahan untuk semua itu. Tidak payah minta darurat. Akta dan undang-undang sedia ada boleh tangani.

“Jadi, tidak betul kata pembangkang berpolitik dalam menangani isu Covid-19,” hujahnya.

Beliau turut mengingatkan fungsi Parlimen sebagai institusi semak dan imbang yang berkaitan dengan penglibatan pembangkang.

“Jangan dengan mudah menganggap segala proses semak dan imbang sebagai usaha menafikan serta kita (Ahli Parlimen) berpecah.

“Itu pemikiran yang simplistik seolah-olah menggambarkan orang politik di negara ini mempunyai mentaliti hanya tahap itu.

“Itu sangat bahaya. Salah satu masalah yang kita hadapi sekarang ialah hilangnya kepercayaan orang awam terhadap orang politik,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mujahid menggesa agar perlunya ditentukan mekanisme untuk mengembalikan demokrasi dan menyelesaikan krisis pandemik.

“Kami bangkitkan soal fundamental sama ada sah atau tidak, kerajaan pada masa ini.

“Kenapa perlu Parlimen digantung? Pembubaran Parlimen pada tahun 2023. Pedulikan tuntutan Umno untuk PRU (Pilihan Raya Umum).

“Pastikan selesai krisis politik dan krisis pandemik. Orang yang menjadikan huru-hara perlu dipertanggungjawabkan. Kalau mahu buat, buat betul-betul.

“Kita kena sembuhkan negara dan pulihkan demokrasi. Tapi yang ada, darurat,” tegasnya lagi.