Ajak sertai Blok Ketiga, Pas pecah belah pembangkang

Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa cadangan Pas supaya PKR dan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dan menyertai Blok Ketiga adalah usaha memecah belahkan pembangkang.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, gabungan ketiga-tiga parti itu tidak akan menguatkan pembangkang sebaliknya hanya tertumpu kepada kaum Melayu sahaja.

“Rakyat akan lihat ia gabungan tiga buah parti ‘Melayu’ tanpa kaum lain membuatkan ia kelihatan tidak seimbang dan tidak kuat.

“Selain itu, rakyat juga akan melihat ia bukan lagi satu alternatif untuk menggantikan kerajaan memandangkan negara kita ini punyai rakyat berbilang kaum,” katanya dalam sidang media di Wisma Amanah Negara semalam..

Ahad lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa kekuatan pembangkang akan meningkat sekali ganda sekiranya PKR dan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dam menyertai Blok Ketiga.

Katanya, jika kerjasama itu menjadi kenyataan, peluang bagi menumbangkan BN dalam PRU 14 juga akan lebih terbuka.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Pas sebelum ini pernah menyatakan syarat jika ingin bekerjasama dengan mereka.

“Jika nak bekerjasama dengan Pas kena ikut cara mereka, jadi jika nak bersama dalam Blok Ketiga maka PKR dan Bersatu kena terima Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri.

“Justeru itu,ia merupakan satu masalah besar bagi PKR dan Bersatu jadi saya lihat cadangan tersebut bukan satu yang serius, hanya sekadar untuk memecah-belahkan pembangkang sahaja,” katanya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)