Malaysia Dateline

AJK Bersatu Bahagian Temerloh label Ketua Bahagiannya ‘pengkhianat’

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Termerloh melabelkan Ketua Bahagiannya Amerus Che On sebagai ‘pengkhianat’ apabila bertindak membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendakwa mesyuarat agung tahunan (AGM) diadakan Sabtu lalu tidak mengikut perlembagaan parti.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Temerloh Mohd Anuar Aziz (dua dari kiri) berkata, dakwaan Amerus bahawa AGM Bersatu tidak sah kerana tidak mengadakan mesyuarat cawangan dan bahagian Bersatu di negeri itu tidak benar sama sekali.

“Dia dakwa mesyuarat agung tahunan PPBM tidak sah atas alasan cawangan dan bahagian tidak bermesyuarat sedangkan cawangan PPBM tidak ditubuhkan lagi dan bahagian belum genap setahun.

“Dalam persidangan perwakilan baru-baru ini perwakilan dari bahagian tidak perlu hadir sebagai perwakilan kecuali G8 wajib hadir dalam perhimpunan diadakan baru-baru ini.

“G8 ini yang terdiri daripada ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan, ketua srikandi dan ketua pemuda bahagian,” jelas Mohd Anuar.

Beliau turut menyanggah dakwaan Amerul kononnya tidak diberikan ruang untuk bercakap sebagai ahli akar umbi sedangkan persidangan agung Umno juga tidak menyediakan platform untuk wakil bahagian berucap.

“Sepatutnya selaku ketua bahagian dia patut ketahui peraturan ini. Dia mendakwa bahawa tidak diberi hak untuk bercakap dalam mesyuarat agung sedangkan mengikut amalan, ketua bahagian akan menyalurkan masalah yang timbul di bahagian kepada wakil negeri yang akan bercakap di dalam perhimpunan agung tahunan,” terangnya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Amerus Che Onn

Amerus pada Selasa lalu mendakwa PPBM mengadakan AGM ‘syok sendiri’ kerana pemilihan perwakilan ke AGM tanpa mengikut perlembagaan parti.

Dakwanya lagi, tiada perhimpunan di peringkat cawangan dan bahagian untuk memilih perwakilan ke AGM pertama itu. Selain itu, perhimpunan untuk Pemuda dan Srikandi juga tidak diadakan.

Mengulas lanjut Mohd Anuar berkata, Amerus didapati gagal menjalankan peranannya sejak dilantik sebagai ketua penaja Bersatu Bahagian Temerloh.

Bahkan kenyataan Amerus kepada media kononnya mewakili 500 ahli Bersatu Bahagian Temerloh juga tidak benar.

“Dia mewakili dirinya seorang. Kami PPBM Bahagian Temerloh tiada kena mengena dengan Amerus dan menolak kepimpinannya atas beberapa alasan.

“Jika nak ulas satu persatu tidak sesuai, memadai jika saya katakan selepas dilantik ketua bahagian dia tidak jalankan aktiviti dan urusan parti tidak diberi perhatian.

“Dia menawarkan diri untuk menjadi ketua bahagian dan berjanji buatyang terbaik tetapi selepas dilantik gagal memainkan peranan,” katanya.

Mohd Anuar juga menyifatkan tindakan Amerus membuat laporan kepada RoS sebagai mencemar imej parti dan mahu tindakan disiplin diambil terhadap beliau.

“Pada kami di Temerloh dia seorang ‘pengkhianat’ kepada parti. Saya rasa terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Bersatu untuk mengambil tindakan,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Bersatu Bahagian Temerloh telah mengemukakan petisyen kepada pusat pada Ogos 2017 memaklumkan kemelut yang berlaku dalam bahagian tersebut namun tiada tindakan susulan diambil.

“Namun kita hormati pucuk pimpinan untuk melakukan satu tindakan yang perlu dan kita tunggu apa yang akan diputuskan pihak pengurusan parti di pusat,” ujarnya.