Malaysia Dateline

AJK Pas kena Covid-19 tahap 4, masjid mula solat hajat

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr. Riduan Mohd Nor disahkan dijangkiti Covid-19 tahap empat.

Hebahan itu bermula semalam daripada hantaran pengguna Facebook, Hidzir Nordin Firlansa Mamuzir berserta gambar terkini Riduan di katil hospital.

“Covid fasa empat. Pernafasan masih dengan bantuan oksigen. Ada masalah besar dengan jangkitan peparu.

“Masih dalam tempoh pemulihan. Mohon solat hajat tuan puan, mendoakan kepulihan segera,” katanya.

Riduan difahamkan dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Sementara itu, AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan Riduan sebagai seorang “sahabat dan pejuang yang rajin dan gigih.”

“Apabila beliau (Riduan) terlantar sakit, terasa sepi seketika. Artikel-artikel bernas beliau juga tidak melintas lagi di dinding Facebook kita.

“Doakan beliau, sahabat-sahabat sekalian agar beliau cepat sembuh dan dakwah ini masih memerlukan insan sepertinya,” kata Nasrudin yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu lagi.

Susulan seruan solat hajat dan doa munajat itu termasuk daripada poster pihak Muslim Care yang tersebar di media sosial, terdapat masjid menyahut mulai berbuat demikian.

Antaranya, Masjid As Salam Bukit Sentosa di Hulu Selangor yang mengajak jemaah melakukan solat hajat demi kesihatan Riduan sejurus menunaikan solat Maghrib semalam.

PAS Riduan Mohd Nor Covid-19 masjid solat hajat