AJK Pas Pusat minta Tan Sri Rashid masuk Maharaja Lawak Mega

Sindiran naib presiden PPBM Tan Sri Rashid Abdul Rahman (foto) agar Pas bergabung dengan Umno untuk mengelakkan parti itu kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU) mendapat reaksi seorang ahli jawatankuasa Pas Pusat asal Terengganu.

Dr Azman Ibrahim sebaliknya melancarkan serangan balas dengan mendakwa Abdul Rashid yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai dua gandingan lawan utama Pas.

“Inilah dua gandingan yang sangat sinonim dengan pelbagai strategi pilihan raya untuk memberikan kemenangan maksimum kepada Umno/BN berhadapan lawan utama iaitu Pas.

“Persempadanan baru kawasan pilihan raya dan pemindahan pengundi yang menguntungkan Umno adalah kepakaran Tan Sri Rashid.

“Seingat saya, berbanding Pengerusi SPR yang lain, Tan Sri Rashid dengan ketara menzahirkan diri beliau bercakap bagi pihak Umno dan selalu menghentam Pas walaupun semasa masih menjawat jawatan pengerusi SPR. Macamlah dia ahli Majlis Tertinggi Umno,” kata Dr Azman dalam tulisannya yang disiarkan portal rasmi Pas, Harakahdaily.

Menurut Dr Azman, berhadapan pelbagai helah itu ‘Pas tak mati’.

“Sekarang Tan Sri Rashid sebagai Naib Presiden PPBM menasihati Pas supaya bergabung dengan Umno untuk mengelakkan Pas kalah teruk dalam PRU14. Tan Sri ada cita-cita nak masuk rancangan Maharaja Lawak Mega ke?” soal doktor gigi itu.