Akan ada pemimpin Umno minta jawatan PM dari Najib, dakwa Salahuddin

Akan ada pemimpin Umno minta jawatan PM dari Najib, dakwa Salahuddin

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu terdesak sehingga terpaksa mendedahkan ada bekas menteri yang meminta jawatan Ketua Menteri daripada beliau, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu terdesak sehingga terpaksa mendedahkan ada bekas menteri yang meminta jawatan Ketua Menteri daripada beliau, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, Najib yang juga Presiden Umno perlu mengawal emosi kerana akan ada dalam kalangan pemimpin kanan Umno yang meminta jawatan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, walaupun Najib tidak menamakan bekas menteri itu namun ia dipercayai merujuk kepada bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Adalah dipercayai krisis dalam Umno tidak bernoktah walaupun telah berlaku penyingkiran kumpulan Tan Sri Muhyidin Yassin beberapa bulan yang lalu.

“Pembersihan tidak sepenuhnya berjaya, ada beberapa orang Menteri dan Menteri Besar yang pro Muhyudin mengambil jalan selamat langsung mendiamkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Najib mendedahkan seorang bekas menteri persekutuan pernah menemuinya dan meminta supaya dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah.

Beliau menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri persekutuan itu yang dipercayai merujuk kepada Shafie yang kini merupakan Presiden Parti Warisan Sabah.

Mohd Shafie hari ini bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai sebarang cita-cita untuk menjadi Ketua Menteri Sabah dan beliau pernah menolak tawaran itu daripada Najib.

Salahuddin juga berkata, pergelutan kuasa antara Datuk Seri Zahid Hamidi yang kini memangku jawatan Timbalan Presiden Umno dan Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Hussein adalah satu rahsia umum yang sedang melanda dalaman Umno.

Justeru katanya, jalan penyelesaian adalah mengharapkan Najib memberi laluan demi menyelamatkan Umno.

“Rakyat tidak akan terkejut sekiranya ada pihak atau individu yang berpengaruh datang menemui Najib dan meminta jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada orang baru bagi memastikan survival Umno yang sarat dengan pelbagai skandal mega yang mengaibkan rakyat serta negara,” katanya lagi.

 

TAGS