Akar umbi AMANAH harap pimpinan tumpu agenda kaderisasi

Akar umbi AMANAH harap pimpinan tumpu agenda kaderisasi

Selepas setahun lebih AMANAH menjadi sebahagian komponen parti pemerintah, akar umbi parti meletakkan harapan tinggi agar kepimpinan memberi tumpuan kepada agenda kaderisasi.

Cabaran selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dilihat jauh lebih besar dan sulit.

Ketua AMANAH Kawasan Pontian, Raden Sorobo Pono berkata, parti politik sebagai sebuah badan yang tidak mencari keuntungan dan memberi khidmat kepada rakyat, tentunya memerlukan pendidikan teratur.

Menurut bekas Yang Dipertuan Pas Pontian 2003 hingga 2015 itu, standard kepada ahli amatlah diperlukan untuk mereka terus komited mendukung falsafah, visi dan misi parti AMANAH.

“Dalam parti AMANAH telah diinstitusikan NUNJI (Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah) sebagai entiti dalam parti untuk menggerakkan program kaderisasi secara teratur.

“Dalam masa sama, pimpinan parti juga wajar fokuskan program seperti tanweer, usrah, wacana, kajian buku dan Kalam (Kursus Asas Keahlian AMANAH),” tegasnya kepada Malaysia Dateline.

Walau bagaimanapun, Raden, 72, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pontian berpendapat sistem penyampaian harus diperkemas dengan meletakkan NUNJI sebagai entiti yang sangat penting untuk membina generasi penerus parti.

“Kegagalan melaksanakan program ini akan membantutkan cita-cita untuk meletakkan AMANAH sebagai parti masa hadapan.

“Lebih-lebih lagi AMANAH ialah sebuah parti berasaskan Islam yang ahlinya dari pelbagai bangsa dan agama serta pelbagai budaya,” ujar Raden lagi.

Ahmad Lutfi Othman menghadiahkan buku kepada Raden dalam pertemuan di Pontian baru-baru ini.