Malaysia Dateline

Akar umbi AMANAH mahu kerjasama dengan PKR dikaji semula

Pimpinan AMANAH Kawasan Bukit Bintang menggesa pimpinan AMANAH Nasional supaya mengkaji semula hubungan kerjasama dengan PKR dan kedudukan parti tersebut dalam Pakatan Harapan (PH).

Pendirian tersebut susulan penerimaan PKR terhadap tiga ADUN AMANAH di Johor dan dua ADUN AMANAH di Selangor yang melompat parti.

Ketua AMANAH Bukit Bintang, Ustaz Ahmad Asri Talib berkata, tindakan PKR itu melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk.

“Senario ini mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setiakawan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.

“Kami juga menyokong penuh kenyataan YB Salahuddin Ayub (Timbalan Presiden AMANAH) yang menyesali tindakan parti rakan PH yang menerima ADUN-ADUN AMANAH yang melompat,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Turut membuat tuntutan sama dalam AMANAH Bukit Bintang ialah Timbalan Ketua, Ahmad Thaari Abdul Rahim; Ketua Pemuda, Sheikh Khuzaifah; Ketua AWAN, Ustazah Sharifah Juanie; Ketua WARDA, Fatihah Salahuddin dan Ketua ARiF, Ismail Othman.

Mereka menegaskan strategi politik parti-parti dalam PH sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas caca marba pengurusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang masih tiada keabsahan.

AMANAH Bukit Bintang berpendirian tidak harus sesama rakan parti dalam pakatan dizalimi ketika bersiap menghadapi PRU-15 jika Parlimen dibubarkan.

“Berdasarkan Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International yang melibatkan responden seramai 20 ribu orang di 17 negara di rantau Asia, hampir sepertiga daripada responden mempunyai persepsi negatif iaitu ahli parlimen adalah mereka yang terlibat gejala rasuah.

“Justeru, kami juga menyarankan agar akta anti lompat parti dikaji dan diperhalusi bagi mengekang amalan lompat parti daripada terus menjadi barah proses demokrasi di Malaysia,” tegas mereka lagi.

Tiga ADUN di Johor yang sudah menyertai PKR ialah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Tahun lalu, dua ADUN AMANAH dari Selangor juga menyertai PKR iaitu ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman.