Malaysia Dateline

Akar umbi Bersatu Selangor bersama Tun M, tolak Muhyiddin yang derhaka

Ahli akar umbi Bersatu Selangor tetap bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Adun Kuang, Salehudin Amiruddin menolak kenyataan Pengerusi Bersatu Selangor.

Beliau juga menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat penderhakaan mutlak terhadap mandat rakyat pada PRU 14 lalu.

Salehudin dalam satu kenyataannya berkata, rakyat telah memilih Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke 14 lalu sebagai kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir.

“Ingkar terhadap mandat rakyat adalah merupakan penderhakaan terhadap tonggak demokrasi yang dipegang kukuh sejak merdeka,” kata bekas Ketua Penerangan Bersatu Selangor itu.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Rashid Asari yang berkata Bersatu Selangor menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

“Adalah dengan ini saya mewakili akar umbi Bersatu Selangor menyangkal sebarang sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi Bersatu,” kata Salehudin.

Bagi beliau, akar umbi Bersatu Selangor menyokong penuh Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu.

“Akar umbi mengutuk dan menentang sebarang niat atau rancangan untuk memecat Tun Dr Mahathir. Datuk Seri Mukhriz atau mana-mana ahli Bersatu yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin dan PN,” katanya.

Beliau juga berkata, akar umbi Bersatu Selangor melihat tindakan Presiden Bersatu yang cuba mengeluarkan parti ini dari PH sebagai penderhakaan mutlak terhadap mandat rakyat dan ianya jelas bertentangan dengan prinsip, semangat dan komitmen yang diperjuangkan Bersatu selama ini.