Akar umbi Pas mula zahirkan kebimbangan kerjasama dengan Umno?

Akar umbi Pas mula zahirkan kebimbangan kerjasama dengan Umno?

ULASAN: Baru seminggu Piagam Pas dengan Umno ditandatangani, sudah berbunyi suara sumbang daripada Naib Presiden Pas tentang hasrat Presiden Haji Hadi Awang untuk membawa masuk Umno ke dalam kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan.

Nik Amar, Naib Presiden Pas menyatakan terlalu awal untuk kerajaan campuran didirikan.

Selepas seminggu berfikir, adakah kenyataan tersebut kerana akar umbi Pas sudah resah gelisah maka sesuatu kenyataan penafian mesti dibuat?

Adakah sekali lagi ahli-ahli Pas akan ditipu seperti dahulu dengan penafian Pas dan Umno tidak akan bersama walaupun kerjasama sulit sudah lama terjalin?

Atau adakah pimpinan kanan seperti Nik Amar sendiri merasa tergugat jika Umno dibawa masuk kerajaan negeri dan beliau bersuara mewakili kumpulan bimbang gulana untuk bercanggah pandangan dengan Tuan Presiden sendiri?

Atau adakah sebabnya kerana kedua-duanya sekali?

Kalau ahli Pas di bawah diminta wala’ kepada pemimpin, kenapa Naib Presiden menyanggah kenyataan Tuan Guru Presiden?

Sebenarnya cadangan piagam Pas-Umno adalah untuk kepentingan pemimipin atasan yang gilakan kuasa dan bukan untuk kebaikan ahli dan rakyat biasa.

Jika pemimpin Pas ikhlas mereka patut bersungguh-sungguh bersama secara kerajaan campuran oleh sebab isu silam royalti minyak dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dahulu boleh diselesaikan kekeliruannya untuk puaskan hati orang Pas yang telah menjadi mangsa.

Bukan itu saja, isu tuduhan Pas parti ajaran sesat oleh Umno boleh juga diselesaikan bersama isu kafir mengafir.

Sebenarnya ramai ahli-ahli Pas tidak merestui piagam Pas-Umno ini selagi isu silam yang besar tidak diselesaikan di peringkat akar umbi.

Tambah lagi pimpinan utama seperti Nik Amar pun mulai merasa terancan dan tergugat kedudukan diri mereka jika Umno bersama dalam kerajaan.

Jadi kalau selepas seminggu ahli dan penyokong setia meragui kebijaksanaan piagam tersebut dan pimpinan utama pun mulai bimbang Umno akan “mengambil” alih kerajaan negeri Pas, nampaknya piagam tersebut adalah percubaan separuh masak terdesak Pas dan Umno untuk menyelamatkan parti masing-masing.

Sekali lagi penyokong bawah Pas di permainan oleh pimpinan mereka yang menggadai prinsip perjuangan untuk bergabung dengan Umno untuk cuba merebut kuasa dengan cara yang terdesak.

Oleh kerana tidak yakinnya Nik Amar dan pimpinan kanan lain kepada kerjasama dengan Umno, mereka sanggup mempertikai saranan Presiden PAS Hj Hadi Awang untuk membawa Umno masuk kerajaan negeri Pas.

* Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah adalah Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.