Akaun 3 KWSP sudah mula dibuka, ini amaran Pakar Ekonomi kepada semua pencarum

Oleh WAN SITI AMINAH

Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun melibatkan Akaun Fleksibel sudah dimulakan pada 11 Mei (semalam).

Melalui perlaksanaaan inisiatif ini, pencarum KWSP boleh mengeluarkan simpanan mereka dalam Akaun Fleksibel atau Akaun 3 pada bila-bila masa sahaja mengikut keperluan yang tertakluk kepada terma dan syarat.

Sehubungan itu, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan merangkap Felow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) iaitu Dr Muhammad Hisyam Mohamad tampil memberi peringatan kepada orang ramai.

Muhammad Hisyam menegaskan bahawa pencarum KWSP perlulah memiliki tahap disiplin tinggi agar tidak sewenang-wenangnya melakukan pengeluaran simpanan daripada akaun yang baru sahaja diperkenalkan ini.

Jelasnya, pencarum wajar melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan peribadi sambil memberi peringatan bahawa akaun itu seharusnya digunakan untuk keperluan penting sahaja, lapor Harian Metro.

“Kali ini Akaun 3 yang diwujudkan bertujuan memenuhi keperluan asas dan mereka yang berhadapan isu ‘kecemasan’. Langkah ini dapat membantu masyarakat yang sedang berhadapan isu kos sara hidup atau dibelenggu dengan masalah upah atau gaji rendah.

“Namun begitu, apa yang dibimbangi ialah pengeluaran dibuat semata-mata untuk berbelanja bagi perkara yang bukan mendesak seperti membeli gajet, menghias rumah, menukar aksesori kenderaan atau tujuan fesyen.

“Lebih-lebih lagi, sekarang ini ia (perbelanjaan) boleh dibuat menerusi kaedah ‘beli sekarang bayar kemudian’,” kata Muhammad Hisyam memetik laporan Harian Metro.

Walau bagaimanapun, Muhammad Hisyam mengakui langkah pengenalan Akaun 3 sedikit sebanyak dapat mengatasi isu pengeluaran caruman secara besar-besaran seperti yang berlaku semasa negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini.

Hal ini ekoran kesan siri pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas telah menyebabkan jumlah peratusan pencarum aktif yang mencapai simpanan asas RM240,000 pada usia 55 tahun menurun.

Tambah Muhammad Hisyam, pencarum perlu berfikir panjang sebelum melakukan pengeluaran kerana purata jangka hayat penduduk semakin meningkat sehingga dikhuatiri simpanan mereka tidak cukup menampung kehidupan pesaraan kelak.

Kerajaan juga disarankan menggiatkan usaha untuk meningkatkan tahap literasi dan kesedaran kewangan bagi membantu masyarakat mengurus wang atau pendapatan dengan lebih baik dan berkesan.

Sekadar info, semua caruman selepas 11 Mei akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan ditetapkan iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus dimasukkan ke Akaun Sejahtera dan baki 10 peratus dalam Akaun Fleksibel.

Baca juga: “Aku ingatkan ada ‘toyol’ dalam rumah, sekali tengok kamera, kantoi mentua tengah selongkar dompet”