Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, adiknya, Nasir Baki menggunakan akaun sahamnya untuk membuat urus niaga melalui pasaran terbuka.
Beliau menegaskan saham-saham itu dibeli menggunakan pembiayaan dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh Nasir dan tiada kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, jelas Azam yang sudah berkhidmat selama 37 tahun, saham-saham itu kemudiannya telah pun dipindahkan kepada akaun milik adiknya.
“Saya tidak melihat ia satu isu apabila membenarkan adik saya menggunakan akaun saya untuk membeli saham. Jika ia satu kesalahan beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau pada sidang akhbar khas dikendalikan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di Putrajaya, hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dirinya memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Azam berkata, beliau tidak terbabit dalam urusan pemilikan saham, malah tuduhan yang mendakwa terdapat konflik kepentingan di pihaknya juga tidak berasas.
“Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tuduhan yang menyatakan terdapat conflict of interest di pihak saya seperti mana yang didakwa oleh segelintir pihak adalah tidak berasas.
“Saya telah menjelaskan kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urus niaga beliau dan saya tiada ada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli itu,” katanya.
Dakwaan kononnya Azam memiliki sejumlah saham yang besar sebelum ini mengundang desakan termasuk daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) supaya sebuah pasukan penyiasat bebas rentas parti dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan segera bagi menyiasat perkara tersebut.
Minggu lalu, sekumpulan Ahli Parlimen PH meminta supaya dilakukan pendedahan penuh terhadap semua aset yang dipegang oleh Azam termasuk dimiliki oleh isteri, anak-anak dan mereka yang mempunyai pertalian dengannya.
Selain itu, mereka juga menggesa siasatan perlu merangkumi pendedahan penuh tentang semua aset yang dipegang oleh mana-mana pesuruhjaya SPRM lain sama ada bekas dan semasa untuk memastikan integriti SPRM.
Isu yang mengaitkan Azam juga menyaksikan pakar ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM selepas panel tersebut didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Sementara itu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang media sama hari ini berkata, Azam telah menjelaskan kedudukan sebenar kepadanya dan ahli-ahli LPPR yang lain dalam mesyuarat bersama pada 24 November lalu.
Abu Zahar berkata, dalam pertemuan itu, Azam telah menjelaskan bahawa akaun saham beliau ketika itu digunakan oleh Nasir Baki untuk membeli saham-saham berkaitan pada tahun 2015.
Menurutnya, Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan pecuniary ataupun beneficial bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham tersebut.
“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan (oleh Azam) dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest dalam perkara tersebut,” jelasnya.
Abu Zahar menambah, di samping itu, LPPR turut bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat dalam masa yang tertentu, tetapi malangnya isu itu telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh Terence Gomez.
“Perkara ini (pendedahan Edmund) amat mengejutkan saya,” kata Abu Zahar lagi.