Malaysia Dateline

Akaun TH alami defisit RM4.1bilion pada 2017

Akaun Tabung Haji (TH) pada 2017 yang dibentangkan di Parlimen hari ini menunjukkan jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion, dengan jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

Laporan akaun TH pada 2017 juga menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dengan kedudukan kewangan sebenar TH pada tahun tersebut, pengisytiharan serta pembayaran hibah bagi tahun 2017 telah melanggar Akta Tabung Haji 1995.

Dr Mujahid berkata, akta tersebut khusus mengenai pembayaran hibah.

Terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi sebelum pembayaran hibah boleh dilakukan iaitu aset tidak boleh kurang daripada liabiliti serta perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.

“TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liability,” katanya kepada pemberita selepas laporan kewangan TH dibentangkan di Parlimen hari ini.

Selain itu, Dr Mujahid juga memberitahu, berdasarkan keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH. Inilah perkara sebenar yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah yang baharu.

Katanya lagi, di bawah pelan pemulihan, ahli lembaga pengarah yang baharu mencadangkan penubuhan Special Purpose Vehicle (SPV) bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset TH yang kurang menunjukkan prestasi.

“Kabinet telah berbincang tentang pelan pemulihan ini dengan teliti dan memberi sokongan penuh terhadap pelan tersebut supaya kedudukan kewangan TH dapat diperbaharui serta mengembalikan keyakinan rakyat.

“Bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mapan, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019,” katanya.