Akhbar milik Umno ucap tahniah pada Presiden Pas

Akhbar milik Umno ucap tahniah pada Presiden Pas

Utusan Malaysia menerusi catatan editorialnya hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran penekanan hala tuju baharu Pas yang didakwa berteraskan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS).

Menerusi ruangan Bisik-bisik di akhbar itu, Awang berkata, pihaknya sudah lama mengharapkan Pas meninggalkan budaya politik yang tidak berteraskan Islam.

“Bagi Awang, mana-mana parti politik terutama yang diterajui pemimpin Melayu dan Islam harus menjaga adab sopan dan tata cara Islam ketika berpolitik. Ingat dosa dan halal haram.

“Islam tidak membenarkan seseorang mengeluarkan kata-kata yang boleh melukai harga diri dan martabat seseorang kecuali mereka yang terbukti melakukan kezaliman,” ujar Awang seperti dipetik.

Pada masa sama, Utusan Malaysia juga dilihat seolah-olah menjadi pengganti akhbar rasmi Pas, Harakah apabila turut mengajak anggota Pas menyokong tujuh ciri budaya politik itu.

Menyifatkan Pas kini dianggotai “mereka yang benar-benar ingin bersama perjuangan Islam”, akhbar dikuasai Umno-BN itu menyeru supaya politik kebencian dan perpecahan dielakkan.

“Tindak-tanduk tanpa ilmu, akal dan adab juga akan membawa kemusnahan,” ujarnya lagi.

Hadi menggariskan tujuh ciri budaya politik matang dan sejahtera ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamad Tahunan Pas ke-62 di Kota Bharu semalam.

Ciri tersebut adalah politik bertunjangkan prinsip, politik dakwah dan amar makruf nahi mungkar serta politik penyelesaian berasaskan Islam.

Empat ciri berikutnya adalah politik utamakan rakyat, politik damai dan diplomasi, politik kebenaran bukan persepsi serta politik rasional dan profesional.

Walau bagaimanapun,  pemerhati politik melihat rata-rata perwakilan membidas pemimpin Amanah yang didakwa kononnya gagal istiqamah dalam Pas.

Bahkan, Abdul Hadi juga menganggap DAP “buat kacau” dalam isu usul rang undang-undang persendirian untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Pada masa sama, Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz turut menyifatkan Amanah sebagai parti pengacau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

TAGS