Akhbar mingguan Wilayahku bukan propaganda kerajaan PH

Akhbar mingguan Wilayahku bukan propaganda kerajaan PH
Khalid Samad (empat dari kiri) ketika melancarkan akhbar mingguan Wilayahku semalam. -Foto Kementerian WIlayah Persekutuan.

Penerbitan akhbar mingguan baharu, WilayahKu tidak boleh dilihat sebagai bahan propaganda kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sebaliknya, ia wajar dijadikan sebagai media penghubung antara kerajaan dan masyarakat di ibu kota, Putrajaya dan Labuan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Menurut beliau, tulisan di dalam akhbar itu perlu sentiasa segar dan berbeza dengan apa yang dibaca di media-media sosial atau portal-portal berita yang boleh diperoleh dihujung jari.

“Akhbar ini diterbitkan ketika era akhbar edisi cetak kurang memberangsangkan. Akhbar versi cetak Malay Mail baharu sahaja dututup, kumpulan Utusan mengurangkan jumlah kakitangan dan menutup sebahagian kilang cetaknya.

“Bahkan saya dimaklumkan bahawa kumpulan akhbar Karangkraf juga sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan bahan penerbitan versi cetaknya.

“Inilah cabaran utama ketika idea untuk menerbitkan akhbar WilayahKu ini mula dibincangkan, bila mana era akhbar cetak dikatakan sedang menuju zaman malapnya,” katanya ketika berucap melancarkan akhbar berkenaan semalam, seperti dilapor Malaysiagazette.

Khalid berkata, akbar WilayahKu merupakan medium dan usaha menyebarkan inisiatif mensejahterakan rakyat disamping menjadi media penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

Akhbar WilayahKu diterbitkan oleh syarikat Wilayah Media Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat YWP yang digerakkan oleh enam orang kakitangan.

Ketua Pengarangnya,  Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Zulkifli Sulong manakala Pengarang, bekas Penolong Pengarang Berita Kosmo!, Helmi Mohd. Foad.

Akhbar tersebut diberikan secara percuma dan boleh didapati di masjid-masjid, pusat ibadat, surau dan pejabat-pejabat kerajaan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pada peringkat permulaan, akhbar berkenaan sebanyak 20,000 naskhah dan jumlahnya akan bertambah dari semasa ke semasa