Malaysia Dateline

Akhirkan pandemik dengan menukar kerajaan yang gagal

Hujung minggu ini hingga ke minggu hadapan sehinggalah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang dijangka akan berlangsung pada 16 hb Jun 2021 adalah amat penting bagi kelangsungan negara Malaysia bergerak kehadapan.

Sudah pasti dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan rakyat amat perihatin sekali dengan suasana pandemik yang sangat tidak boleh dijangkakan ini.

Tambahan pula suasana ekonomi negara yang tidak ada hala tujuan serta kegusaran rakyat terhadap masahadapan kita amat penting ditangani dengan penuh strategik dan teratur.

Pertemuan YDA dengan pimpinan parti-parti politik juga amat penting dan rakyat menunggu hasil yang terbaik bagi negara Malaysia. Sudah pasti itulah yang dihasratkan oleh YDA demi kelangsungan kehidupan rakyat, masadepan ekonomi dan perindustrian negara, pendidikan, perladangan dan kesemua jentera pentadbiran negara.

Pengambilalihan kerajaan oleh Perikatan Nasional nampaknya tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Sektor ekonomi, perindustrian, peruncitan, pelancongan seolah-olah berada dalam keadaan pegun. Kabinet yang telalu besar tidak berfungsi apa-apa dalam mengurus krisis.

Sebahagian besar anggota kabinet tidak nampak menjalankan apa-apa fungsi atau peranan besar. Ada yang langsung tidak pernah muncul dan mungkin juga tidak dikenali oleh rakyat. Inilah realiti semasa yang tidak boleh dinafikan.

Setelah meneliti data raya (big data) yang di bentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelunjuran Covid-19 penulis yakin bahawa krisis ini boleh diatasi dalam tempoh yang lebih singkat.

Strategi capaian vaksin, pembentukan imuniti kelompok akan menyegerakan proses kelancaran pembangunan semula negara pasca Covid-19. Strategi mapan ini buka sahaja akan membentuk imuniti kelopok tetapi akan membolehkan negara bergerak kehadapan dalam semua sektor mengikut
fasa-fasa berasaskan nilai strategik sektor tersebut.

Apa yang berlaku kini tidak diurus dengan baik dan berada dalam keadaan yang amat pegun (static condition) dengan ketiadaan dasar dan halatuju yang jelas. Kabinet seolah-oleh bergerak tanpa nakhoda dan tiada dasar yang selaras diantara kementerian bagaimana pandemik ini hendak ditangani.

Kenyataan Tun Mahathir selepas beliau selesai mengadap bahawa beliau mengesyorkan MAGERAN 2.0 dilaksanakan seolah-oleh seiring dengan kenyataan para penasihat kerajaan PN. Ini menggambarkan juga akan ‘pakatan’ dalam pakatan untuk melaksanaan MAGERAN 2.0.

Penulis berpendapat YDA dan Majlis Raja-Raja Melayu dengan kebijaksanaan baginda semua sudah pasti akan memayungi rakyat dengan keputusan yang terbaik. Apa yang pasti perlu berlaku adalah kelancaran kepimpinan masa hadapan negara, menyusun strategi dan dasar yang lebih baik wajib diberikan keutamaan.

Apa yang sedang dan telah berlaku sekarang tidak boleh diteruskan sama-sekali. Penanda-arasnya jelas sekali bahawa ia gagal membendung pandemik ini sepertimana negara seperti New Zealand, Australia, China dan Thailand.

Dasar-dasar seperti perlaksanaan SOP yang tidak tegas, double-standard, berubah-ubah sekelip mata tidak akan menyelesaikan krisis ini. Dengan kata lain krisis ini tidak dapat diurus oleh kepimpinan masa kini.

Strategi masa hadapan pasca Darurat Kesihatan yang akan berakhir mulai 1hb Ogos 2021 adalah amat penting. Terdapat perkara penting yang perlu digerakkan pasca “Darurat Kesihatan”. Dan ini tidak mungkin boleh dilakukan oleh kepimpinan masakini terutamanya dalam melandaikan lengkok jangkitan Covid-19 dan perlaksanaan strategi dasar-dasar kesihatan awam yang kelihatan lemah dan perlu diperbaharui.

Majlis Perundingan Ekonomi dan Perindustrian perlu digerakkan dengan aktif, strategi dalam sektor perladangan dan pertanian perlu disusun semula dan fasa-fasa perlaksanaan pembukaan sektor utama negara hendaklah dirangka dengan cepat dan cekap.

Penelitian semula pembukaan sektor pendidikan, peruncitan, perkilangan, IKS dan sebagai nya adalah merupakan satu keperluan asas. Di samping itu kabinet perlu dikecilkan dengan memberi tumpuan hanya kepada sektor strategik untuk enam hingga dua belas bulan akan datang.

Dalam tempoh sesingkat tiga hingga empat bulan dari sekarang lengkok penularan Covid-19 mesti dilandaikan. InsyaAllah, inilah kerajaan masa hadapan yang akan berjaya.

Sepertimana mengungkap kata-kata khalifah Abasiyyah ketika mengambil alih dari kerajaan Bani Umayyah dipenghujung waba’ taun berpanjangan yang melanda pada ketika itu telah berkata, “sesungguhnya waba’ ini telah berakhir dengan bertukaran kerajaan dari Umayyah kepada Abbasiyah”.

Mungkin inilah solusi masakini.
———————-
Penulis adalah Felo, Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan.