Malaysia Dateline

Akhirnya Ahmad Yahaya diumumkan Ketua Dewan Ulama Pas

Akhirnya Datuk Ahmad Yahaya diumumkan sebagai Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat yang baharu semalam selepas tertangguh lebih sebulan.

Beliau sepatutnya dilantik pada 2 November lalu selepas hanya nama beliau mendapat pencalonan namun pemilihan tidak dilakukan kerana mesyuarat itu ditangguhkan.

Nama Ahmad Yahaya diumumkan sebagai Ketua Dewan Ulama Pas Pusat melalui poster ucapan tahniah dalam facebook Dewan Ulama Pas Pusat semalam.

Namun sehingga kini tidak ada sebarang makluman rasmi tentang barisan exco kepimpinan sayap kanan Pas itu.

Menurut kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin kepada Malaysiakini pada 2 November lalu, penangguhan tersebut dibuat kerana hanya ada lima negeri yang membuat muktamar peringkat dewan ulama.

Negeri lain, katanya, belum selesai mengadakan muktamar masing-masing, justeru mereka tidak dapat menghantar calon untuk DUPP seperti sepatutnya.

“Ini isu undang-undang, yang berkait dengan ROS (Jabatan Perdaftaran Pertubuhan). Kita tak nak langgar, jadi tangguhlah,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Hashim pemilihan jawatan DUPP itu dijangka diadakan pada Dis ini.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik pula menegaskan dakwaan kononnya penangguhan agenda pemilihan dalam muktamar sayap parti itu disebabkan beberapa nama pimpinan tidak tercalon sebagai tuduhan jahat.

Mokhtar berkata, Dewan Ulama Pas Pusat tidak tahu siapa dalam kalangan mereka dicalonkan atau tidak kerana senarai pencalonan ada dalam simpanan jawatankuasa pemilihan.

“Kalau diketahui bermakna jawatankuasa pemilihan telah membocorkannya. Siapa yang membocorkan itu?

“Dan saya percaya jawatankuasa pemilihan tidak khianat dengan amanah yang disandangkan kepada mereka,” katanya ketika itu.

Menurutnya lagi, penangguhan agenda pemilihan tersebut adalah arahan Setiausaha Agung dan Majlis Syura Ulamak (MSU).

Oleh sebab itu, jelasnya, DUPP hanya mematuhi arahan itu agar selari dengan perlembagaan dan peraturan pemilihan.

“Keputusan itu tidak menidakkan negeri-negeri yang telah menghantar nama calon-calon kerana nama itu boleh dikekalkan terus sehingga muktamar diarahkan oleh Pas Pusat.

“Penangguhan cuma memberi ruang kepada MSU dan Pas Pusat meneliti peraturan pemilihan dan memberi ruang kepada negeri-negeri yang belum mesyuarat agung peringkat negeri menghantar calon-calon mereka.

“Dan ianya dilihat oleh MSU dan Pas Pusat sebagai prosedur teknikal yang berkait dengan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Mokhtar menyeru agar mandat diberi kepada MSU dan Pas Pusat untuk membuat keputusan memandangkan isu tersebut tiada kaitan dengan DUPP.

“Berhati-hatilah kerana terlalu banyak persepsi jahat dilontarkan sehingga berlaku buruk sangka terhadap DUPP,” tambahnya lagi.

Sementara itu, sumber memaklumkan, hanya nama Ahmad Yahaya sahaja yang dicalon di kalangan Dewan Ulama Negeri yang telah bermesyuarat ketika itu manakala nama ketua ketika itu tidak dicalonkan.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama adalah Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.