Akhirnya akur juga agenda Rahmatan Lil ‘Alamin

Akhirnya akur juga agenda Rahmatan Lil ‘Alamin

APABILA AMANAH menampilkan agenda Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA) pada awal penubuhannya, ada pemimpin Pas dan beberapa NGO yang menjadi sekutunya melabel AMANAH sebagai parti liberal kerana memilihagenda itu.

Secara sembrono mereka menafsirkan agenda RLA itu berhasrat untuk menolak syariat, memberi ruang kepada kekufuran berkembang dan mempermainkan ajaran Islam secara tersirat.

AMANAH dituduh bertopengkan agenda RLA untuk mencapai hasratnya untuk menjadikan Malaysia negara yang mengenepikan Islam, bahkan menjadikan negara ini negara bebas semahu-mahunya.

Melalui kuliah, khutbah, penulisan dan kenyataan, AMANAH terus digambarkan sebagai parti yang menolak Islam hanya kerana menjadikan RLA agenda perjuangannya.

Namun begitu, dari sehari ke sehari, agenda itu semakin difahami dengan baik oleh masyarakat dan diterima dengan positif. Masyarakat semakin nampak agenda RLA bukanlah seperti yang ditasawurkan oleh Pasdan sekutunya.

Agenda Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA) bawaan AMANAH adalah agenda mengajak manusia mentauhidkan Allah, berubudiyyah kepadaNya dan berinteraksi dengan semua manusia dengan akhlak terpuji.

Hal itu selari dengan pengutusan Rasulullah selaku rahmat dan pembawa rahmat untuk seluruh manusia dan alam semesta.

Agenda RLA bukan untuk meminggirkan Islam, jauh sekali untuk menjadikan negara ini negara bebas agama, tetapi agenda ini bertujuan memastikan syariat Islam terlaksana
sepenuhnya dalam kerangka realiti Malaysia dan menjadi rahmat untuk segenap lapisan
warganya.

Tentulah agenda besar ini hasilnya tidak boleh dilihat dalam masa setahun apatah lagi sebulan, namun keazaman yang tinggi untuk memastikan agenda itu berjalan dengan
lancar dan mencapai objektifnya sedang diusahakan dengan gigih.

Selepas tiga tahun agenda itu dimomok oleh Pas dan sekutunya, kini, dalam ucapan Ketua Ulama Pas, dia menyentuh tentang Islam RLA, cuma dengan ungkapan yang berbeza
iaitu Islam Rahmat Untuk Semua (IRUS). Ungkapan RLA tidak diguna oleh Ketua Ulama Pas, tetapi digunakan ungkapan Islam Rahmat Untuk Semua iaitu terjemahan secara
literal kepada ungkapan Islam RLA.

Mungkin beliau bimbang isi ucapannya itu selari dengan agenda AMANAH (AMANAH sedar agenda RLA bukan hak ekslusifnya) yang pernah menjadi momokan parti itu begitu
lama, lalu ungkapan RLA itu dimelayukan.

Memang, ada cadangan ungkapan IRUS digunapakai oleh AMANAH. Namun AMANAH lebih serasi dengan ungkapan asal yang diambil daripada kitab suci daripada menggunakan
terjemahannya.

Mengapa Pas mula menggunakan ungkapan itu? Adakah Pas baru tersedar dari lena mereka yang panjang bahawa agenda RLA selari dengan Islam?

Adakah Pas baru sedar agend RLA bukan bertujuan melarikan diri daripada melaksanakan syariat dan bukan agenda liberal,bahkan itulah agenda Islam dalam wajah yang
dibawa oleh Rasul? Atau pun Pas juga sudah jadi parti liberal apabila turut menerima agenda RLA walaupun dengan istilah terjemahan RLA?

Nampaknya Pas terpaksa akur bahawa versi Islam yang mereka bawa selama ini yang dilihat suka menghukum, ekstrim dan melampau semakin hari semakin menjadikan parti itu
terpinggir dari arus negara dan rakyat.

Mereka terpaksa menerima suatu hakikat bahawa rakyat Malaysia semakin faham Islamdalam wajahnya yang sebenar sementara Islam yang ditampilkan oleh Pas bukanlah Islam
yang menjadi rahmat seperti yang ditampilkan oleh Rasulullah.

Akhirnya, mereka terpaksa akur dengan hakikat itu dan terpaksa menjilat kembali ludah tuduhan mereka terhadap AMANAH, selepas agenda itu didahului oleh AMANAH
selama tiga tahun.

Walau apa pun jawapan Pas terhadapsoalan tadi, agenda Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA) akan terus dipersadakan sehingga sebati dengan fikiran dan hati rakyat. Ini adalah agenda besar tanpa noktah yang memerlukan komitmen padu semua lapisan warganegara.

Jika Pas mahu bersama menjayakan agenda mulia ini, dengan senang hati AMANAH meraikannya demi Islam dan umatnya.Namun jika Pas enggan, kami ucapkan selamat tinggal.