Akhirnya Anwar, DAP penyelamat dan penentu dasar negara

Oleh NASUHA RAHMAN

Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri Yaakob akan menandatangani Memorandum Persefahaman atau MoU jam 5.00 petang ini yang menandakan bermulanya kerjasama kedua-dua pihak demi kepentingan rakyat.

Meski butiran MoU hanya akan diumumkan selepas ia ditandatangani antara Ismail Sabri dengan ketua-ketua parti PH yang diketuai Anwar Ibrahim petang nanti, adalah dijangka ia tidak lari daripada tujuh tawaran yang dibuat Perdana Menteri, Jumaat baru-baru ini.

Tujuh tawaran tersebut adalah:
• Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.
• Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
• Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
• Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
• Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
• Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
• Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Melalui MoU itu, dalam erti kata lain termetrailah CSA atau Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan antara kerajaan dengan blok pembangkang yang tujuan utamanya untuk mewujudkan kestabilan politik dan saling bekerjasama, khusus untuk memulihkan ekonomi ekoran pandemik Covid19.

Dalam jangka masa singkat, keuntungan yang diperolehi oleh Ismail Sabri melalui MOU itu ialah tiada lagi desakan usul undi percaya dan Belanjawan 2022 akan diluluskan tanpa banyak masalah.

Jika tiada apa-apa halangan atau Ismail Sabri kekal sihat tanpa memerlukan sebarang rawatan rutin, setidak-tidaknya akan kekallah beliau sebagai Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan untuk diadakan PRU15.

Walaupun belum tentu Umno dan BN mampu menang lagi dalam PRU15 akan datang nanti, MOU dengan PH itu sekurang-kurangnya mampu memberi harapan cerah untuk Ismail Sabri bertahan sebagai Perdana Menteri lebih 17 bulan, melebihi tempoh singkat Mahiaddin Md Yasin sebelum ini.

Dari segi PH pula, meski MoU ini bermakna ia menutup peluang Anwar untuk mencuba lagi bagi mengembalikan mandat PRU14 sebelum tibanya PRU15, tetapi dalam beberapa sudut keuntungannya tidak boleh dinafikan begitu saja.

Selain wakil rakyat blok pembangkang akan menikmati peruntukan sama rata dengan Ahli Parlimen kerajaan, lebih penting daripada itu, semua rang undang-undang yang mahu dilaksanakan, termasuk belanjawan, mesti dirunding dengan mereka terlebih dahulu.

Dengan itu, PH akan berperanan besar dalam menentukan hala tuju dan pembangunan negara tanpa perlu berada dalam kerajaan sekali sama sekali.

Melalui peruntukan yang sama rata, pengundi di kawasan pembangkang tidak lagi rasa dipinggirkan oleh kerajaan yang memerintah.

Terlebih penting lagi, MoU ini juga memperlihatkan betapa besarnya peranan PH dalam memberi kestabilan dan menentukan jangka hayat kerajaan sekarang yang Perdana Menterinya adalah daripada Umno.

Kalau sebelum ini Umno berteriak dan bertempik No Anwar No DAP, terbukti kini Anwar dan DAPlah yang dicari untuk menyelamatkan kerajaan dan tengkuk jawatan beserta gaji lumayan yang mereka diterima setiap bulan.

Realitinya sekarang, sementara Ismail Sabri sudah sedia ada mempunyai 114 sokongan Ahli Parlimen di belakangnya, beliau seperti tidak yakin dengan kekuatan tersebut untuk mendepani usul undi percaya dan Belanjawan 2022 nanti.

PH yang di dalamnya ada PKR, DAP dan Amanah bukan saja lebih dipercayai oleh Ismail Sabri untuk jangka hayat kerajaannya, tetapi juga untuk hala tuju negara ini.

No Anwar No DAP kini sudah ditelan oleh mereka yang dulu kuat menentangnya, bukan saja daripada UMNO, tetapi termasuk daripada Pas juga.

Semuanya kerana sayangkan jawatan, tetapi PH tidak rugi apa-apa, sebalik bakal untung yang menanti lebih berganda-ganda.

Kalau dilihat berdasarkan tujuh tawaran Ismail Sabri itu, kesemuanya adalah perkara yang memang asas perjuangan PH dan mahu dilaksanakan sebelum ini sejak dilontarkan dalam manifesto lagi, cuma ia tidak sempat dilakukan kerana tiada kejujuran ketika Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan selepas itu berlaku pula pengkhianatan oleh Mahiaddin yang menjadikan segala-galanya tergendala.

Yang mustahak, dengan kesediaan Ismail Sabri mengangkat semula tawaran terse-but, rakyat pasti akan menilai bahawa perkara-perkara yang menjadi idea dan perjuangan PH adalah sesuatu yang relevan dan sesuai dengan semua kerajaan.

Pasti ada berfikir, kalaulah PH diberi peluang lebih lama jadi kerajaan dan dipimpin oleh pemimpin yang betul-betul menjiawai semangat reformasi, tentulah lebih banyak lagi kebaikan dan pembaharuan mampu dinikmati bersama.

Dengan yang demikian, melalui MOU itu, selain memperlihatkan PH adalah pembangkang yang berjiwa besar yang memang meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan, peluangnya untuk memenangi PRU15 turut jadi lebih cerah lagi.

Kerajaan yang ada sekarang tidak lebih hanya penciplak – tiada idea dan tiada kemampuan melaksanakan perubahan jika tanpa PH.