Malaysia Dateline

‘Akhirnya bolot jawatan, mana 10 tuntutan untuk rakyat?’

Hantaran Facebook Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan ucapan tahniah kepada Ketua Penerangan parti itu, Shahril Sufian Hamdan yang baharu dilantik sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri mengundang kecaman warganet.

Orang ramai dilihat menyelar dan menyindir pelantikan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu yang dianggap tidak perlu sama sekali ketika ramai rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ada yang membangkitkan di mana 10 Tuntutan Rakyat yang Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah perjuangkan sehingga beliau menerangkan sendiri satu persatu tuntutan tersebut kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Julai lalu.

“Ingatkan adalah sinar dan harapan 10 tuntutan untuk rakyat. Akhirnya, jawatan saja depa bolot. Teruk kena ‘kencing’ (tipu) ni,” kata Muhammad Muqqodim.

Pengguna Facebook, WaeYie LK pula menegaskan tiada keperluan pelantikan tersebut untuk negara buat masa sekarang dengan ramai rakyat amat susah, terdesak dan tertekan.

“Kerajaan sendiri sudah banyak pakar yang berkaliber. Sudah tiba masanya negara kita melantik sesuatu jawatan bukan atas dasar kuota parti,” ujarnya.

Pelantikan Shahril yang dikatakan bakal mencabar Asyraf dalam pemilihan Umno itu juga berlaku pada ketika sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.

Hang lantik orang hang. Aku lantik orang aku. Yang merana tiada kerja dan makan adalah insan yang bernama rakyat,” kata seorang netizen.

Bahkan, sikap Umno yang lantang bersuara ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebelum ini juga menjadi sindiran orang ramai.

Wow, terus okey apabila Umno dapat banyak jawatan penasihat,” perli Miro Jusuh.

Tidak kurang juga warganet yang menyarankan agar jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang disandang Datuk Seri Mustapa Mohamed dimansuhkan susulan pelantikan Shahril itu.

“Boleh dah hapuskan jawatan Menteri Ekonomi!” sinis Muhammad Azlan Azenin.

Berikut 10 Tuntutan Rakyat yang diketengahkan Pemuda Umno sebelum ini:

1. Segerakan Bantuan Khas Covid-19 (BKC), jangan tunggu bulan Ogos. Itupun belum ada tarikh bulan Ogos bagi tujuan pembayaran. Rakyat amat terdesak sekarang. (Nota: Nilai BKC adalah RM250 untuk M40, RM800 untuk B40; RM1,300 untuk miskin tegar; RM100 untuk bujang)

2. Jangan berkira sangat, luluskan sahaja kedua-dua kategori penerima BPR/BKC dan penerima GKP-Geran Khas Prihatin (M40: BKC (RM250) + GKH (500) = RM750 sahaja; B40: RM300 + GKH:RM500 = RM800 sahaja). Ramai mengadu dinafikan BPR/BKC kerana GKP sedangkan GKP untuk bantu perniagaan terjejas sedangkan BPR/BKC lebih kepada keperluan menampung kehidupan diri dan keluarga.

3. Permudahkan proses rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan. Karenah birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250 (takut-takut kos nak merayu akhirnya yang tinggal berbaki jika berjaya sekalipun sudah tidak berbaloi).

4. LHDN wajar ambil kira data terkini. Ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0. Data pembayaran cukai 2020 tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan majoriti rakyat!

5. Kerajaan wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40. Nilai RM250 terlalu sedikit dalam keadaan rakyat sudah sampai ke peringkat terdesak.

6. Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara ‘lump sum’ berbanding berkala setiap bulan dan kadar lebih tinggi mengikut simpanan pencarum, contohnya RM10,000 atau berkadaran dengan jumlah simpanan dalam Akaun KWSP.

7. Benarkan akses kepada Akaun 1 KWSP dan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui karenah birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan.

8. Benarkan akses kepada golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen-komitmen seperti hutang akibat daripada pendapatan yang terjejas secara mendadak.

9. Selaraskan kaedah penawaran moratorium yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi akibat memilih moratorium. Perluaskan juga moratorium kepada agensi kerajaan termasuk LPPSA.

10. Bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar akibat PKP 3.0 yang berpanjangan dan tiada berkesudahan.