Malaysia Dateline

Akhirnya dua pemimpin kerajaan PN didenda ingkar PKP

Buat kali pertama pemimpin Perikatan Nasional (PN) didenda kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas 12 hari Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi dan Exco kerajaan negeri Perak Razman Zakaria melanggar PKP, akhirnya kedua-dua pemimpin PPBM dan Pas itu dihadapkan ke muka pengadilan.

Mereka didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Grik, hari ini kerana ingkar PKP apabila menghadiri jamuan di Maahad Tahfiz al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah (MTQDI) di Kampung Luat, Lenggong pada 17 April lalu.

Sebelum ini, tular gambar Dr Noor Azmi bersama Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol serta sekumpulan individu lain dalam aktiviti yang dilihat mengingkari perintah penjarakan sosial itu.

Pada masa itu, mereka dikatakan membuat lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk meninjau situasi semasa petugas kesihatan bagi memerangi wabak Covid-19.

Bagaimanapun, hantaran gambar di akaun rasmi Facebook Dr Noor Azmi dan Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol kemudian dipadamkan selepas warganet mendakwa mereka melanggar PKP.

Razman turut membuat hantaran gambar di akaun Facebook miliknya memaklumkan mereka menjamu hidangan kampung selain memberitahu menjadi imam untuk solat berjemaah ketika aktiviti surau dan masjid sudah ditutup dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Ekoran kecaman warganet, Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai membuat permohonan maaf atas tindakannya itu pada 20 April lalu.

Sehari sebelum itu, Razman memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat dan menganggap apa yang berlaku dalam program itu merupakan kekhilafannya.

Sementara itu, jumlah kumulatif tangkapan kerana ingkar PKP setakat kelmarin adalah seramai 20,617 individu.

Pada 25 April lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian di Putrajaya berkata, 11 penjara khas untuk menempatkan pesalah PKP sudah mula beroperasi.

Penjara khas itu merupakan bangunan Akademi Penjara yang diwartakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pusat tahanan.

Sehingga 25 April lalu, 58 individu dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan ingkar PKP mula dihantar ke penjara sementara tersebut.