Malaysia Dateline

Akhirnya Kabinet beri jaminan percepat Undi 18

Kerajaan akan meneruskan semula proses menurunkan had kelayakan umur mengundi kepada 18 tahun, selepas keputusan penangguhan oleh kerajaan pada Mac lalu ditentang hebat oleh rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, perkara itu telah dibincang dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 April.

Beliau juga memberi jaminan bahawa ianya akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat

“Kerajaan komited untuk melaksanakan undi 18 sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019

“Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata ketika itu, pihaknya perlu realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Susulan keputusan diumumkan, Sekretariat tuntut undi 18 yang disertai NGO, aktivis dan individu bukan dari badan politik telah berhimpun di bangunan Parlimen bagi membantah tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan undi 18.