Malaysia Dateline

Akhirnya Menteri PN jumpa Veveonah

Selepas berlarutan dua timbalan menteri ‘menyerang’ Veveonah Mosibin, menteri Perikatan Nasional (PN) akhirnya datang menemui keluarga pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga memberitahu beliau memohon maaf bagi pihak kerajaan ekoran isu Veveonah yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian.

“Sempat bertemu Veveonah di UMS. Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan.

“Saya juga telah cadangkan untuk Veve berkerjasama dengan Yayasan Inovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar,” kata Khairy.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian dalam ciapannya di Twitter petang ini dengan menyertakan gambar beliau bersama Veveonah dan kedua-dua ibubapanya.

Veveonah sebelum ini memuat naik video berdurasi 11 minit bertajuk “24 hours on tree challenge” (cabaran 24 jam di atas pokok) di YouTube yang memaparkan kesukarannya untuk memperoleh talian internet pada 12 Jun lalu.

Pelajar Asasi Sains UMS itu perlu memanjat pokok demi mendapatkan capaian Internet yang cukup kuat untuk menjawab peperiksaan dalam talian dengan sebelum itu membina sebuah pondok kecil dekat rumahnya untuk tujuan itu.

Namun, pondok tersebut rosak ditimpa hujan beberapa jam sebelum peperiksaan bermula.

Berbekalkan kelambu, dua telefon bimbit, powerbank, alat tulis serta nasi dan minuman, Veveonah berjaya menjawab dua kertas peperiksaan sepanjang berada di atas pokok itu.

Rakaman video itu juga memaparkan detik cemas Veveonah berdepan dengan tebuan ketika sedang menjawab peperiksaan serta keputusannya untuk bermalam di atas pokok berikutan cuaca yang semakin gelap.

Walaupun menerima banyak tontonan dan dibanjiri reaksi serta komen positif selain turut dikongsi oleh UMS, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberikan reaksi sebaliknya.

Zahidi menuduh Veveonah berbohong dan hanya mahu menaikkan ‘rating’ YouTube yang kemudiannya mengundang kecaman orang ramai kepada Ahli Parlimen Padang Besar itu.

Memadam kenyataan 

Ekoran serangan warganet, Zahidi kemudiannya dalam kenyataan media ringkas tiga perenggan memohon maaf dan mengakui dia mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan dalam perbahasan di Dewan Negara, 3 September lalu.

Selain Zahidi, Timbalan Menteri Kewangan I, Abdul Rahim Bakri yang juga Ahli Parlimen Kudat dalam hantaran panjang dengan lambakan kesalahan tatabahasa dan ejaan juga menuduh Veveonah menipu.

Wakil rakyat Bersatu itu kemudiannya memadam kenyataannya itu yang antara lain mendakwa dia sendiri telah membuat siasatan terhadap seorang dekan fakulti dan pensyarah UMS yang kononnya memberitahu tiada peperiksaan dalam talian ketika Veveonah memanjat pokok itu.

Sehubungan itu, Khairy sebelum ini memaklumkan mesyuarat Kabinet bersetuju bahawa kenyataan daripada Zahidi dan Abdul Rahim adalah tidak tepat dan tidak wajar dikeluarkan.

Dalam masa sama, pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut memberikn reaksi mereka. Antaranya, Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia, Aiman Athirah Al-Jundi yang menggesa agar Zahidi segera dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional itu menegaskan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan perlu memutuskan sama ada Zahidi berkata benar berkenaan dakwaan mendapat maklumat tidak benar ketika memberi jawapan kepada Dewan Negara atau sebaliknya.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang merangkap Ahli Parlimen Iskandar Puteri mengucapkan tahniah kepada Veveonah kerana telah berjaya menjadi topik perbincangan mesyuarat Kabinet walaupun lebih kepada tindakan terhadap Zahidi dan Abdul Rahim yang tidak mampu didisiplinkan Perdana Menteri.

Bagi Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional pula, sayap AMANAH itu menggesa agar Zahidi Zainul meletakkan jawatan ekoran gagal memperoleh maklumat sahih biarpun sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.