Malaysia Dateline

Akhirnya, Neelofa, suami, 20 ahli keluarga kena kompaun RM60,000

Usahawan dan selebriti kontroversi, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Neelofa, 32, dikompaun kerana tidak memastikan penjarakan fizikal sewaktu majlis akad nikahnya di Hotel Grand Hyatt, di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Penghias muka depan majalah berprestij, Forbes Asia pada Mac 2017 itu juga didapati bersalah melanggar tujuan rentas negeri yang dibenarkan sehingga mengundang kecaman rorang ramai.

Terdahulu, kes membabitkan jutawan tersebut disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, tiada diskaun dibenarkan untuk menyelesaikan kompaun tersebut.

Dalam masa sama, katanya, seramai 20 orang anggota keluarga Neelofa yang hadir dalam majlis perkahwinan itu juga dikompaun masing-masing RM1,5000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal.

Jelasnya, kesemua kompaun dikeluarkan hari ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000.

Bagaimanapun, masih belum ada tindakan kompaun terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan seorang pemimpin Pas yang turut hadir dalam majlis mewah selebriti berkenaan.

Zulkifli ketika itu memberikan khutbah dan tazkirah ringkas kepada pasangan yang dinikahkan oleh adik kandung Neelofa, Mohd Aqief Mohd Noor.