Akhirnya Neelofa tampil mohon maaf akui tidak sensitif isu SOP

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Artis dan usahawan tersohor Neelofa yang mencetuskan kontroversi ekoran perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis perkahwinannya dan berkongsi percutiannya di Langkawi hari ini tampil memohon maaf.

Neelofa mengaku beliau kurang menjaga sensitiviti semua pihak dan terlepas pandang dalam banyak perkara.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video kira-kira dua minit kepada media.

“Saya seikhlas hati memohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan saya mahu pun di luar pengetahuan saya berkenaan kedua-dua isu ini.

“Sekali lagi saya hendak memohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti hal ini dengan semua… Saya sepatutnya memberi contoh yang baik mengenai hal itu,” katanya.

Beliau dan suaminya Haris Ismail menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan pihak berkuasa ke atas kedua-dua insiden berkenaan.

Neelofa tampil membuat permohonan maaf berikutan selesai proses memberi keterangan kepada polis.

“Alhamdulillah, hari ini selesai (proses beri keterangan dan kerjasama kepada polis). Saya dan suami pergi (beri keterangan) pada awal minggu ini, keluarga mentua beberapa hari lalu dan keluarga saya hari ini,” katanya.

Pihak polis dilaporkan telah membuka kertas siasatan berikutan isu pelanggaran SOP pada majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz selepas tular di media sosial pada 27 Mac lalu.

Bukan setakat majlis perkahwinannya, Neelofa sekali lagi mencetuskan kemarahan netizen apabila memuat naik hantaran memaparkan kunjungannya ke Langkawi, lantas menimbulkan spekulasi pasangan ini sedang berbulan madu, beberapa hari selepas diijabkabulkan.