Malaysia Dateline

Akhirnya Noh Omar kekal digantung kehadiran tiga hari, akur keputusan Speaker Dewan

Setelah bertegas untuk kembali masuk ke Dewan Rakyat sesi petang  dan diberikan peluang membela diri akhirnya Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN) Tan Sri Noh Omar akur dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof petang ini yang mengekalkan keputusan mengantung beliau selama tiga hari.

Keputusan dibuat oleh YDP Dewan Rakyat itu adalah mengikut Perkara 44 (4) yang memberi ruang kepada Noh untuk membela diri.

Bagaimanapun Noh ketika membela diri mengekalkan pendiriannya untuk tidak menarik balik kenyataan dibuatnya semalam yang mempersoalkan kredibiliti Timbalan Speaker Nga Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan itu tidak menjawab pertanyaannya berkaitan ‘taliban’ yang mengaitkannya dengan kerjasama Pas-Umno.

“Saya hormati keputusan dibuat Speaker Datuk Arif di bawah peraturan 44.

“Tetapi saya tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh TImbalan Speaker (Nga Kor Ming) pagi tadi.Ruling pagi tadi yang dibuat ketika saya tiada dalam Dewan dengan menggantung kehadiran saya selama tiga hri itu dibuat oleh Kor Ming saya tidak terima.

“Saya tidak akan tarik apa ucapan saya di dalam dewan yang mengatakan ahli parlimen teluk intan itu tidak layak jadi speaker.Itu yang menjadi sebab saya digantung,” ujarnya kepada media selepas keluar dari dewan setelah membela diri di hadapan YDP Speaker pada sesi Dewan Rakyat petang ini.

Bagaimanapun Noh tetap mempertikaikan tindakan Kor Ming semalam tidak mengunakan Peraturan 44(1) dan Perkara 44 (2) semalam untuk mengantungnya.

“Sepatutnya semalam beliau boleh arah saya tarik balik, tetapi dia tidak buat.

“Oleh kerana nak menghormati keputusan Yang Dipertua dewan petang ini saya tidak akan menarik balik apa kenyataan saya di Parlimen semalam,” ujarnya.

Mohamad Ariff menyatakan keputusan menggantung Ahli PArlimen Tanjong Karang itu  daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini adalah muktamad selepas diberi peluang membela diri.

Mohamad Ariff membuat penetapan berkenaan setelah berpuas hati dengan penjelasan wakil pembangkang berkenaan selain meneliti hansard kenyataan Noh Omar dalam sesi perbahasan semalam.