Malaysia Dateline

Akhirnya Nurul Izzah berkahwin semula, kali ini dengan Yin Shao Loong

Selepas lama bersendirian apabila perkahwinan pertamanya pecah, Nurul Izzah Anwar memilih wartawan yang juga pengamal komunikasi Yin Shao Loong sebagai rakan hidup baharu beliau.

“Pada petang 5 Ogos 2022, berwalikan ayahanda pengantin perempuan, kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat.

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir.” (QS. Ar-Rum: 21).

“Kami memohon doa kalian semua – agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” umum ahli Parlimen Permatang Pauh yang lebih dikenali sebagai Puteri Reformasi itu menerusi facebook beliau tengah malam tadi.

Sehingga berita ini ditulis, catatan ini mendapat 4,600 komen dan dikongsi oleh lebih 850 pengguna facebook Naib Presiden PKR itu.

Shao Long adalah bekas Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor ketika Datuk Seri Azmin Ali adalah menteri besarnya.

Sekarang ini beliau bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Kanan di Khazanah Research Intitute.

Nurul Izzah, 42, sebelum ini berkahwin dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim namun bercerai pada Januari 2015 lalu.

Kedua-dua mereka mempunyai dua anak iaitu seorang lelaki, 13 tahun, dan seorang perempuan, 15 tahun.