Malaysia Dateline

‘Akhirnya peniaga picisan macam kita ni tertindas’ – Sharifah Rose kena ‘banned’ netizen selepas didakwa ciplak idea orang

Seorang usahawan dan pemilik jenama Sekuntom, meluahkan kekecewaannya apabila mendakwa artis yang kian meningkat popular, Sharifah Rose menciplak nama dan konsep produknya.

Menurut usahawan tersebut, nama yang digunakan oleh jenama Sharifah Rose, sememangnya sama dengan jenama yang dia telah gunakan sejak tahun 2017 iaitu Sekuntom.

Sharifah Rose pula bakal mengeluarkan produk tudung keluarannya yang diberi nama Sekuntum.

'Akhirnya picisan macam kita ni yang tertindas' - Sharifah Rose kena 'banned' netizen selepas didakwa ciplak idea orang

Sharifah Rose didakwa hanya menukar ejaan sahaja pada produk baru yang akan dikeluarkannya itu.

Logo mereka juga dilihat seakan-akan sama menggunakan konsep tiga kelopak bunga.

“Selamba artis keluarkan jenama nama sama tapi ejaan lain.

“Perniagaan Sekuntom ini saya kembangkan sejak 2017, dan kemudian menjenamakan semula pada tahun 2020.

“Bila teringat nak capai 10,000 pengikut, susah. Nak dapat pembeli berpotensi pun susah. Artis baru perkenal perniagaan sehari, dah 1,000 pengikut,” ciap @ladsheer, pemilik jenama Sekuntom.

Dia menambah, “bila nama jenama hampir sama, pelanggan pun keliru. Akhirnya picisan ini tertindas, nak dapat pengikut 10,000 pun makan tahun,” ciapnya lagi

Ekoran itu netizen mula mengaitkan tindakan Sharifah Rose itu sama seperti pengasas jenama Fashion Valet (FV) dan dUCk, Vivy Yusof yang sebelum ini juga terpalit dengan kontroversi meniru idea jenama lokal, iaitu thejasmine.hq dalam pengeluaran hijab terkini.

Sharifah Rose bagaimanapun masih berdiam diri tidak mengeluarkan sebarang penjelasan biarpun orang ramai meminta artis berkenaan menjelaskan apa yang berlaku.