‘Akhirnya, rakyat akan tentukan sama ada saya PM seterusnya atau tidak’

‘Akhirnya, rakyat akan tentukan sama ada saya PM seterusnya atau tidak’

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu temubual menyatakan walaupun rancangan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri seterusnya merupakan satu perjanjian, beliau masih memerlukan persetujuan daripada rakyat Malaysia.

Selaku pejuang demokrasi, beliau perlu menghormati prinsip demokrasi dan keputusan rakyat sama ada akan memilih beliau sebagai Perdana Menteri seterusnya atau sebaliknya.

“Sekarang, ya, perjanjiannya memang saya yang akan menjadi perdana menteri, tetapi anda betul, akhirnya ia adalah keputusan rakyat yang menentukan. Sekiranya saya seorang pejuang demokrasi, saya harus menghormati keputusan itu,” kata Anwar dalam temubual bersama CNN Asia seperti dipetik Astorawani hari ini.

Turut ditanya mengenai kerjasama bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengejutkan banyak pihak.
Kata Anwar, dalam tadbir urus politik dan kehidupan, sifat ‘saling memaafkan’ adalah sesuatu yang penting.

“Baiklah dalam politik, dalam tadbir urus dan juga dalam kehidupan, kita perlu menyedari bahawa perasaan belas dan saling memaafkan adalah penting. Kita juga perlu bergerak ke hadapan dan tidak boleh terikat pada masa lampau,” kata Anwar lagI.

Sementara itu, mengulas mengenai skandal syarikat pelaburan negara, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Anwar berkata Pakatan Harapan sebelum ini menyangka skandal itu boleh diselesaikan secara dalaman tanpa campur tangan pihak luar.

Namun selepas kerajaan mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau menyedari skala sebenar skandal tersebut dan menyeru kerjasama di peringkat global untuk menyelesaikan kes tersebut.

“Kami perlukan sumber cukup untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya percaya bahawa rakyat dan negara tidak perlu menderita hanya kerana ketamakan beberapa pemimpin korporat sebelum ini. ”

Temubual penuh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rancangan Talk Asia akan disiarkan Rabu ini, 23 Januari jam 5.30 petang di Astro saluran 511, CNN .