Malaysia Dateline

Akhirnya, syarat pengeluaran i-Sinar bakal dimansuh

Selepas menerima desakan pelbagai pihak, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan program i-Sinar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemansuhan susulan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas rakyat.

Beliau berkata, ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun boleh membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.

Jelasnya, bagi ahli yang sudah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

“Langkah ini diharap dapat membantu ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19,” kata Tengku Zafrul dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin dalam Umno lantang menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu caruman KWSP selain meneruskan pemberian moratorium pembayaran pinjaman secara bersasar.

LANJUT MENYUSUL