Malaysia Dateline

Akhirnya terbongkar punca penculikan ejen kosmetik, suami terbabit aktiviti seludup dadah

Penculikan ejen kosmetik yang heboh semalam akhirnya terbongkar apabila hasil siasatan pihak polis mendapati puncanya kerana perselisihan faham membabitkan ahli sindiket dadah.

Di mana polis mendapati suami kepada Rosnazirah Mohd Naim atau Azi yang diculik itu terbabit dalam aktiviti sindiket dadah.

Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, Rosnazirah berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Kelantan.

Menurut pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam berkait kes penyeludupan dadah.

Akhirnya terbongkar punca penculikan ejen kosmetik suami terlibat aktiviti sindiket dadah

“Suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah. Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

“Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan.

“Bagi kes ini, polis percaya tiada pembabitan pihak lain kerana kita percaya kejadian ini berlaku akibat perselisihan di kalangan ahli sindiket,”katanya pada sidang media hari ini.

Rosnazirah dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam kelmarin di Kampung Kuala Jambu.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang menculiknya petang kelmarin.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dan satu operasi khas dilancarkan bagi menyelamatkan wanita berkenaan. Kita percaya wanita berkenaan dalam keadaan selamat.

“Pihak berkuasa Thailand juga memberi maklum balas positif bagi mengesan mangsa yang dipercayai berada di negara berkenaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk kampung supaya tidak bimbang dan takut dengan apa yang berlaku kerana insiden seperti itu bukan berlaku kepada semua orang.

“Ini kerana apa yang berlaku di antara ahli sindiket dan mereka mengenali antara satu sama lain.

“Sehingga kini, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek dan siasatan terhadap nombor kenderaan Toyota Vios yang digunakan suspek adalah nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Baca juga: Apa isi surat rahsia yang ditinggalkan Ratu Elizabeth II? Hanya boleh diketahui pada tahun 2085

Baca juga: Bangunan asrama tahfiz terbakar, tiada kemalangan jiwa dilaporkan