Malaysia Dateline

Akhlak terpuji tidak mengenal agama, orang kafir yang berakhlak tidak disia-siakan

Antara akhlak terpuji musyrik jahiliah ialah pemurah (al-karam). Mereka suka menjamu tetamu dan membantu orang musafir. Ada sesetengah orang Arab, di rumahnya sentiasa ada periuk besar yang dipenuhi makanan dan apinya sentiasa menyala kerana tetamu yang tidak putus-putus.

Mereka memanggil buah anggur dengan al-karam kerana anggur dibuat arak. Ketika mabuk mereka mendermakan harta dengan mudah. Arak pula dipanggil bint al-karam (putri pemurah).

Hasil keuntungan judi pula diguna untuk membantu golongan susah. Sebab itu dalam al-Quran arak dan judi disebut punya manfaat untuk manusia. Namun, diharamkan kerana mudarat yang lebih besar.

Justeru disebut, Nabi diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia kerana akhlak mulia memang telah sedia wujud dalam diri masyarakat musyrik jahiliah. Nabi tampil melengkapkan akhlak mulia berkenaan dengan tauhid dan iman dengan hari akhirat.

Antara akhlak mereka yang lain ialah berani, teguh memegang janji, sayangkan keluarga dan puak sendiri dan lemah lembut. Musyrik jahiliah juga berbangga dengan diri sendiri dan keturunan.

Kenapa saya tulis benda ini? Ada orang menganggap akhlak mulia hanya ada pada orang beriman sahaja. Anggapan itu tidak benar. Bahkan, orang beriman tidak semestinya berakhlak mulia.

Sebagaimana ada orang kafir berakhlak mulia, begitulah juga ada orang berakhlak buruk. Akhlak tidak mengenal agama tetapi berada dalam diri orang yang kaya dengan sifat keinsanan.

Allah tidak mensia-siakan orang kafir yang berakhlak mulia. Mereka diberi balasan baik dengan akhlak itu. Sama seperti orang beriman akan diazab kerana berakhlak buruk.

Al-Quran sebut, sesiapa buat amal baik biarpun seberat zarah, dia akan melihatnya. Membuktikan bahawa kebaikan orang kafir akan dibalas dengan kebaikan oleh Tuhan yang Maha Adil.

 

* USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.