Malaysia Dateline

Akhramsyah timbang tanding Naib Presiden Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sedia pertimbang untuk merebut jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti Jun ini.

Pengerusi MARA Corp itu berkata, beliau menerima pujukan dan permintaan daripada pemimpin tertentu yang menggesa supaya bertanding jawatan berkenaan.

“Buat masa ini, saya masih menimbang untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Saya ada menerima pujukan, cadangan dan saranan untuk Naib Presiden.

“Saya akan buat keputusan selepas mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian selesai,” katanya  seperti dipetik laporan Berita Harian pada Rabu.

Setakat ini, Menteri Pembangunan Usahawan yang juga ahli MPT, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Timbalan Ketua Badan BERSATU Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menawarkan diri bagi merebut jawatan sama.

BERSATU memperuntukkan tiga jawatan naib presiden yang ketika ini disandang Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Rashid Ansari.

Satu lagi kerusi dikosongkan selepas penyandangnya, Datuk Hamidah Osman meletakkan jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti pada 16 September 2017.

Akhramsyah menjelaskan, isu nasional terutama yang menyentuh kepentingan Melayu dan Bumiputera akan menjadi asas kepada keputusan beliau sama ada mahu merebut jawatan berkenaan atau sebaliknya.

“Isu yang menyentuh kepentingan dan hala tuju Melayu serta MARA akan menjadi agenda bagi saya jika bertanding Naib Presiden.

“Apa gunanya hendak merebut jawatan tertinggi parti tetapi tiada platform khas yang hendak diangkat menjadi dasar dalam kerajaan. Maka, sesiapa yang hendak merebut jawatan ini, bagi saya harus ada platform yang hendak dijadikan agenda,” katanya.

Beliau turut mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Bersatu Bahagian Jerai yang disandang ketika ini berdasarkan rekod perkhidmatan bersama parti di bahagian dan peringkat nasional.

“Saya optimis mampu mempertahankannya. Setiap orang ada jasa dan sumbangan kepada parti, maka ia akan dilihat dan dinilai oleh ahli akar umbi,” katanya.