Malaysia Dateline

Nenek lesap RM140,000 akibat bercinta dengan ‘angkasawan’

Seorang nenek lesap RM140,000 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam akibat menjalin hubungan cinta dengan ‘angkasawan’ yang mula dikenalinya di Instagram.

Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai angkasawan Rusia itu kononnya bekerja di Stesen Angkasa Antarabangsa.

Pasangan tersebut ‘bercinta’ selepas bertemu pada 28 Jun lepas di Instagram sebelum meneruskan hubungan mereka menerusi telefon, lapor Yomiuri Shimbun dipetik Awani.

Sementara itu, Balai Polis Higashi Omi dalam kenyataan pada 7 Oktober lalu memaklumkan bahawa lelaki tersebut mengajak mangsa berkahwin selepas dia tiba ke bumi.

Lapor The Japan News, ‘angkasawan’ itu menghantar mesej melalui aplikasi Line, memberitahu mangsa bahawa dia mahu memulakan kehidupan baharu di Jepun dan menyatakan rasa cinta kepadanya.

Dalam satu mesej, lelaki itu berkata bahawa dia akan terus mencintai warga emas itu walaupun mengakui menyebut hal tersebut sebanyak 1,000 kali pun tidak akan mencukupi.

Namun, dalam masa sama, lelaki berkenaan meminta ‘kekasihnya’ menghantar duit berjumlah AS$30,000 (4.4 juta yen atau RM140,160) sebagai caj mendarat ke bumi.

Susulan itu, mangsa berusia 65 tahun yang menetap di bandar Higashiomi City itu melakukan lima kali transaksi wang antara Ogos dan September.

Walau bagaimanapun, warga emas tersebut akhirnya membuat laporan polis apabila curiga dengan tindakan lelaki berkenaan yang berterusan meminta wang.

Baca juga Individu ini dedah gaji warga asing di Malaysia sekitar RM4,000 hingga RM6,000 kalah gaji graduan

Baca juga Jumpa pembalut luka terpakai dalam makanan, wanita rasa geli tekak