Malaysia Dateline

Akibat berkumpul sambut majlis hari jadi, 19 orang dijangkiti Covid-19 di Tawau

Seramai 19 individu di Mukim Balung Tawau direkodkan positif Covid-19 ekoran menghadiri majlis hari jadi di rumah kes indeks pada 12 Jun lalu.

Mereka merupakan pesakit Covid-19 bagi Kluster Serudung Baru yang dikesan hari ini dengan kes indeks merupakan warga berusia 60 tahun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lelaki berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 16 Jun di Klinik Kesihatan Apas Balung, setelah bergejala sejak 13 Jun lalu.

“Susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun mendapati sembilan individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif.

“Setakat hari ini, sembilan lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 19 kes,” katanya dalam kenyataan media laporan harian kes Covid-19 di negeri Sabah hari ini.

Sabah hari ini mencatatkan 166 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan pandemik tersebut mencecah 67,707 kes.

Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 44 kes, diikuti Tawau (32 kes) dan Sandakan (16 kes).

Sementara itu, terdapat dua kes kematian baharu direkodkan di Tawau melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan masing-masing berusia 31 dan 63 tahun.

Kedua-duanya meninggal dunia di Hospital Tawau dengan warga emas itu mempunyai penyakit kencing manis manakala pemuda itu menghidap darah tinggi dan obesiti.