Akibat Covid-19 ramai cabut lari lepas makan di restoran, ‘order’ sampai tiga hidangan tapi tak bayar

Oleh KIM SYAZIE

Semakin ramai rakyat Britain didapati ‘melarikan diri’ tidak membayar makanan yang sudah dimakan di restoran.

Krisis kos sara hidup dan pandemik Covid-19 membebankan penduduk dari segi kewangan sehingga ramai berfikir sama ada mereka mampu untuk keluar makan di luar.

Malah, masalah kewangan dihadapi rakyat semakin berleluasa tahun lalu dengan pendapatan isi rumah boleh guna menurun sebanyak 0.6 peratus.

Pada Mei lalu, 80 peratus isi rumah di United Kingdom (UK) menerima kesan lebih teruk berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan jumlah wang simpanan mingguan purata hanya mencecah sebanyak 207 pound (RM1,226).

Lapor Daily Mail, pesuruhjaya polis, Donna Jones berkata, terdapat peningkatan signifikan membabitkan kes pelanggan lari tanpa membayar bil makanan mereka.

“Ini adalah contoh insiden penipuan paling jelas yang boleh anda melihat. Perkara itu amat memalukan.“ lapor Utusan Malaysia.

Kami dapati jenayah sedemikian semakin meningkat, ia mungkin disebabkan kos sara hidup yang tinggi. Namun, tindakan individu yang makan tiga hidangan di restoran tanpa membayarnya adalah keterlaluan.

“Pihak yang melakukan perbuatan itu bukan individu bergantung pada dadah atau alkohol, mereka adalah penduduk biasa yang mempunyai kereta sendiri,” katanya.

Jones menyifatkan perbuatan jenayah itu amat mengejutkan ketika orang ramai bergelut untuk membuat bayaran dan meneruskan perniagaan

“Justeru, saya menggesa orang ramai tampil memberi maklumat dan berkongsi gambar dalam talian seperti dilakukan kebanyakan pemilik perniagaan, dengan menamakan individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Dilaporkan, data dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri mendedahkan Polis Metropolitan merekodkan sebanyak 12,610 kes kesalahan membabitkan pelanggan lari tanpa membayar bil makanan pada 2018.

Pada tahun yang sama, kajian Barclaycard mendapati satu daripada 20 penduduk melarikan diri tanpa membayar makanan di restoran.

Baca juga: Tampil sebagai model Aliff Syukri, ramai terkejut bila tahu perangai sebenar Ira Kazar