Seorang lelaki warga Bangladesh hari ini memohon maaf kepada Malaysia atas tindakannya memasang Jalur Gemilang secara terbalik di luar unit sebuah pangsapuri di Bukit Raja, di Klang 26 November lalu.
Bahkan, tertuduh Hosin Ab Diplap, 27, turut menyatakan dirinya menyukai dan sayangkan negara ini.
Operator di sebuah kilang itu berbuat demikian selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan seorang individu warga tempatan, yang diketahui akibatnya akan memecahkan keamanan awam.
Dia yang tidak diwakili peguam didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Klang dan juga diperintah dipenjarakan selama lima bulan jika gagal membayar denda itu.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.
Sebelum ini, Hosin yang turut ditegur Pengerusi Komuniti pangsapuri itu didakwa berdegil menurunkan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik itu.
Namun, lelaki berkenaan didakwa berdegil menyebabkan penduduk membuat laporan polis.
Baca juga Risau terperangkap dalam banjir – Ini tiga laman media info berguna patut kerap dilihat