Akibat hebah hal rumah tangga di media sosial, isteri maut disepak dan dihentak senjata tumpul

Oleh ARIF ATAN

Seorang wanita di Cheras disepak dan dihentak hingga mati oleh suaminya sehari sebelum Aidilfitri akibat menghebahkan situasi rumah tangga mereka di media sosial.

Mangsa yang tinggal di flat dekat Balai Batu 9 itu disepak dan dipukul dengan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd ZaidHassan, berkata wanita berkenaan dihantar ke Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh suaminya tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Pemeriksaan luaran ke atas mangsa mendapati kematian itu mencurigakan apabila ada kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa.

“Polis Ibu Pejabat Daerah Kajang kemudiannya menerima laporan polis daripada pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Kajang, pada jam 9.16 pagi, pada hari sama.

“Bedah siasat terus dijalankan sekitar jam 11 pagi, hari berkenaan dan mendapati punca kematian ialah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul,” lapor BH.

Mohd Zaid menjelaskan siasatan mendapati, kejadian berlaku sehari sebelum Hari Raya dan mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.

“Motif pembunuhan ialah suspek marah dengan mangsa disebabkan mangsa memuat naik di media sosial suspek mempunyai hubungan sulit.

“Siasatan juga menemukan bukti dan keterangan jelas mengaitkan saspek terbabit dalam kes itu,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah menahan suami kepada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan, berumur 38 tahun dan bekerja sebagai mekanik kereta untuk siasatan lanjut.

“Kes sudah dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan suspek akan dituduh Isnin ini (9 Mei), di Mahkamah Majisret Kajang,” tambahnya lagi.