Akibat honkan kereta yang mencelah tidak sopan, guru cedera ditetak

Akibat honkan kereta yang mencelah tidak sopan, guru cedera ditetak

Seorang guru luka di tangan dan kepala selepas ditetak dengan parang ekoran berselisih faham ketika bersesak-sesak di jalan raya semasa sambutan Aidil Fitri semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang semalam di Manir, Kuala Terengganu apabila seorang guru bersama isteri dan dua anaknya sedang dalam perjalanan dari Kemaman ke Besut dengan menaiki kereta Honda City dipotong oleh sebuah kereta Perodua Kancil dengan tidak sopan dalam kesesakan itu.

Terkejut dengan tindakan pemandu kereta Kancil itu, mangsa telah membunyikan hon keretanya.   Ia telah menyebabkan pemandu kereta Kancil tersebut bertindak keluar dari keretanya dan menuju ke arah kereta guru itu sambil memegang sebilah parang panjang.

Mangsa turut keluar dari kereta dan berlaku pergelutan antara saspek dan mangsa sehingga masuk ke dalam semak berhampiran jalan. 

Orang ramai yang melihat kejadian ini cuba menghampiri untuk membantu mangsa yang diserang itu.

Melihat kehadiran orang ramai, saspek telah melarikan diri dengan memecut laju menghala ke arah Batu Enam.

Mangsa didapati cedera  di bahagian lengan sebelah kiri akibat ditetak serta luka di bahagian kepala.

Orang ramai telah menghubungi ambulans dan anggota polis peronda yang kebetulan tiba di tempat kejadian telah mengawal keadaan.

Siasatan telah dijalankan oleh polis dan berikutan kecederaan parah mangsa, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber polis, saspek telah dikenalpasti dan tindakan mengesan beliau sedang dijalankan.

Sebuah telefon bimbit dipercayai milik saspek juga telah dijumpai di tempat kejadian oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis utk siasatan lanjut.

COMMENTS

Wordpress (0)